Siakap Keli
ikan perairan antartika beku
Kredit: Facebook & AFP

Laut Antartika Sangat Sejuk, Tetapi Kenapa Ikan Disana Tak Beku Macam Dalam Peti Ais? Ini Jawapannya

Laut Antartika Sangat Sejuk, Tetapi Kenapa Ikan Disana Tak Beku Macam Dalam Peti Ais? Ini Jawapannya

Sebagai rakyat Malaysia yang sejati, kita mesti pernah ‘ditipu’ dengan bekas ais krim yang disimpan pada bahagian atas peti sejuk di rumah kita.

Apabila bekas tersebut dibuka dengan segunung harapan ketika cuaca sedang panas, harapan yang setinggi Gunung Kinabalu itu hancur apabila mendapati isinya bukanlah apa yang kita harapkan.

Apa tidak, bekas yang digunakan untuk menyimpan ikan adalah bekas ais krim dengan ilustrasi yang amat menggiurkan pada penutupnya.

Namun, ketika hati sedang hampa melihat sosok ikan beku di dalam bekas tersebut, pernah atau tidak anda terfikir persoalan ini.

Ikan akan menjadi beku apabila diletakkan di dalam kawasan yang memiliki suhu di bawah paras beku.

Akan tetapi, ikan-ikan di kawasan sangat sejuk, beriklim ekstrem mampu berenang secara santai dalam perairan yang hampir pada takat beku.

Menurut Live Science, keadaan perairan di Lautan Antartika yang ekstrem sudah cukup untuk membekukan darah ikan.

Walau bagaimanapun, terdapat kandungan antibeku semula jadi dalam darah ikan yang memastikan kitaran darahnya terus berjalan.

Suhu Lautan Antaratika adalah kira-kira -1.8 darjah Celcius. Bacaan suhu ini adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan takat beku bagi darah ikan iaitu -0.9 darjah Celcius.

Keadaan ini sepatutnya menyebabkan semua ikan yang berada dalam perairan terbabit beku kerana suhu darahnya sudah mencapai takat beku.

Akan tetapi, ikan-ikan ini dilihat masih berenang tanpa sebarang masalah, walaupun berada dalam keadaan perairan yang bersuhu sangat ekstrem.

Persoalan ini telah memberikan teka teki kepada para pengkaji selama lebih 50 tahun sehingga mereka menemui satu agen penting dalam darah ikan.

Mereka telah menemui sejenis protein khas yang mampu memberikan perlindungan terhadap suhu sejuk dalam darah ikan-ikan yang tinggal di perairan sejuk.

Protein antibeku ini dapat berfungsi lebih baik  berbanding agen antibeku yang berada dalam isi rumah. Bahan ini menghalang darah ikan daripada membentuk pepejal sekali gus, beku di dalam perairan yang sangat sejuk.

Sungguhpun begitu, para saintis masih belum memahami bagaimana bahan ini dapat menghalang pembekuan darah ikan.

Bagi menjawab persoalan ini, para pengkaji telah mengkaji protein antibeku Antarctic toothfish (Dissostichus mawsoni). Ikan tersebut telah ditangkap sewaktu para pengkaji berada dalam ekspedisi di Antartika.

Mereka telah menggunakan teknik istimewa untuk merakam pergerakan molekul air yang dicampur dengan protein antibeku dari ikan terbabit.

Dengan kehadiran agen ini, molekul air bergetar dan terus bergerak. Dengan erti kata lain, bahan ini telah menghalang molekul air daripada merapati antara satu sama lain dan membentuk kristal ais.

BACA: Bukan Saja-saja Letak, Ini Fungsi Lain ‘Soak/Tube’ Pada Mesin Basuh Ramai Tak Tahu

Sumber: Live Science

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma