Siakap Keli
rekaan bumbung plaza tol berbeza
Kredit: TikTok/Leon1994

Baru Perasan, Rekaan Bumbung Plaza Tol PLUS Rupanya Berbeza-beza, Ini Alasannya

Baru Perasan Walau Dah Lalu Banyak Kali, Rekaan Bumbung Plaza Tol Rupanya Berbeza

Lebuhraya di Malaysia merupakan lebuh raya bertol dan pengguna jalan sudah sedia maklum dengan hakikat ini. Salah satu lebuhraya bertol paling popular di Malaysia adalah Lebuhraya PLUS.

PLUS merupakan jaringan lebuhraya yang menghubungkan negeri paling utara, Perlis dengan negeri paling selatan, Johor di Malaysia.

Sepanjang laluan ini, ada banyak laluan keluar ke negeri-negeri lain dan di setiap laluan keluar ini anda akan menemui struktur yang dikenali sebagai plaza tol.

Plaza tol adalah tempat dimana syarikat konsesi membuat kutipan bayaran tol daripada pengguna jalan.

Sepanjang kita menggunakan perkhidmatan lebuh raya, boleh dikatakan amat jarang bagi kita untuk mengamati seni bina plaza tol ini.

Mungkin kebanyakan pengguna tergesa-gesa untuk ke destinasi ataupun merasa teruja untuk sampai ke destinasi pilihan dengan segera.

Tapi, ada rekaan bumbung plaza tol masih tidak sama walaupun berada di bawah syarikat konsesi yang sama

Namun begitu, rekaan bumbung plaza-plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan tidak seragam, walaupun semuanya di bawah syarikat yang sama.

Sebenarnya terdapat justifikasi menarik yang menjelaskan rekaan senibina berbeza bagi setiap bumbung plaza tol dalam lebuhraya ini.

Menurut hantaran Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, perbezaan ini kerana setiap plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan E1, E2 dan E6 kendalian PLUS menggunakan senibina bumbung-bumbung rumah tradisional.

Lebih menarik, unsur rekaan senibina bumbung-bumbung tradisional ini mengikut negeri masing-masing.

Sebagai contoh, plaza tol di Johor akan menggunakan rekaan bumbung Rumah Limas yang popular di Johor.  Manakala, rekaan bumbung Istana Sultan Melaka digunakan sebagai inspirasi untuk rekaan plaza tol di Melaka.

Tidak dilupakan, rekaan tanduk kerbau yang menjadi satu ciri ikonik dalam seni bina tradisional Minangkabau diserapkan dalam rekaan plaza tol di Negeri Sembilan.

Bagi Selangor pula, rekaan bumbung plaza tol diinpirasikan dari seni bina bumbung Rumah Bumbung Panjang Selangor. Manakala, rekaan Bumbung Rumah Limas Selangor pula digunakan untuk rekaan plaza tol di Lebuhraya ELITE (E6).

Sama seperti Selangor, plaza tol Jalan Duta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggunakan rekaan Bumbung Rumah Limas Selangor.

Pada bahagian utara Malaysia pula, Bumbung Rumah Tradisional Kutai dijadikan sebagai inspirasi untuk seni bina plaza tol di Perak.

Seterusnya, seni bina bumbung plaza tol di Pulau Pinang telah menyuntik inspirasi dari rekaan Rumah Bumbung Panjang Pulau Pinang.

Akhir sekali, negeri yang menempatkan penghujung Lebuhraya Utara-Selatan iaitu Kedah menggunakan rekaan bumbung Balai Besar Kedah yang terletak di Alor Setar.

Anda boleh perbezaan rekaan bumbung menerusi hantaran Facebook di bawah:

Rekaan bumbung yang berbeza ini telah menyuntik identiti tempatan terhadap pengguna lebuhraya sekali gus mendidik masyarakat berkenaan kekayaan seni bina tradisional di Malaysia.

BACA: Cukup Mudah, Cara Nak Hilangkan Kulat & Bau Busuk Dalam Peti Sejuk, Guna 2 Bahan Je

Sumber: Blog Jalan Raya Malaysia via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma