Siakap Keli
Universiti beri cuti haid
Kredit AFP

Universiti Di Thailand Beri Cuti Khas Untuk Siswi Datang Haid

Universiti Di Thailand Beri Cuti Khas Untuk Siswi Datang Haid

Sebuah Universiti terkemuka di Thailand dilaporkan telah meluluskan sejenis cuti yang dikenali sebagai “cuti haid” untuk pelajar wanitanya yang datang bulan, lapor Straits Times.

Pemberian cuti tersebut adalah sesuatu perkara yang baharu dan bersejarah untuk sebuah universiti di negara tersebut.

Universiti berkenaan iaitu Universiti Tammasat di Pathum Thani, utara Bangkok dikatakan akan membenarkan pelajar yang datang bulan tersebut untuk bercuti daripada mengikuti kelas.

Selain itu, pelajar yang mengalami sakit kepala dan keletihan disebabkan masalah itu turut dibenarkan untuk mengambil cuti tersebut.

Pemberian cuti itu juga tidak akan mempengaruhi gred akademik para pelajar yang terkesan.

Difahamkan, keputusan itu telah diluluskan oleh jawatankuasa akademik universiti pada minggu lalu.

Keputusan tersebut telah menjadikan universiti itu sebagai institusi pendidikan kerajaan yang pertama membenarkan cuti haid kepada para pelajarnya.

“Jabatan Akademik memohon kerjasama dari fakulti, institusi dan kolej untuk membenarkan pelajar tidak hadir ke kelas kerana kedatangan haid,” kata kenyataan daripada akaun rasmi kesatuan pelajar universiti itu di laman X.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut dan memperincikan lebih jelas berapa lama tempoh cuti yang boleh diambil oleh para pelajar dalam kes tersebut.

Merupakan universiti kedua tertua dan terkemuka di Thailand

Universiti Thammasat adalah merupakan universiti kedua tertua di Thailand dan dikenali sebagai salah satu universiti yang paling progresif.

Institusi itu juga terkenal dengan kursus profesional dalam bidang politik dan undang-undang.

BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis

Sebelum ini, beberapa negara di seluruh dunia juga dilaporkan telah meluluskan undang-undang pemberian cuti haid tersebut.

Antara negara yang sudah memulakan pemberian cuti khas tersebut ialah Jepun, Indonesia dan Sepanyol.

Sementara itu, di beberapa negara lain, majikan juga telah mula menawarkan cuti haid tersebut kepada pekerja mereka.

Pemberian cuti itu diberikan walaupun tanpa ada kewajipan undang-undang untuk melakukannya.

Sumber: AFP via The Straits Times

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.