Bayi Bertali Pusat Ditemui Dalam Beg Plastik
Seorang bayi lelaki tanpa seurat benang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam bungkusan plastik di tepi jalan Pjs 9/1 Bandar Sunway, Subang Jaya semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada anggota bertugas ronda cegah jenayah Balai Polis Bandar Sunway berkenaan penemuan tersebut pada pukul 1.25 tengah hari.
“Bayi tersebut dijumpai dalam bungkusan plastik yang ditinggalkan di tepi jalan dan masih bernyawa. Semasa dijumpai orang awam, bayi tersebut tidak berpakaian dan masih bertali pusat serta uri.
“Anggota telah membawa bayi tersebut ke klinik berhampiran seterusnya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Wan Azlan berkata hasil pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan mendapati bayi tersebut baru sahaja dilahirkan.
“Bayi berada dalam keadaan stabil dan ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan rapi,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh cecah sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membuat laporan di 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Suriyana Zakaria di 019-3559880.
Sumber: Kenyataan Media Polis Daerah Subang Jaya