Sambutan kerjasama antarabangsa dan pertukaran budaya mencapai kemuncaknya hari ini dengan Taylor’s University sebagai tuan rumah kepada majlis penutupan Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023. Bermula di Beijing pada Oktober lalu, inisiatif global yang berlangsung selama sebulan tersebut telah menyatukan para peserta dalam satu perjalanan merentas sempadan di China serta pelbagai negara ASEAN melalui amalan penyembuhan tradisional.
Dianjurkan oleh Qigong Management Centre of the General Administration of Sport of China, Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023 merupakan satu inisiatif yang merangkumi aktiviti dalam dan luar talian, yang dirancang dan dilaksanakan oleh Persatuan Kecergasan Qigong China- ASEAN.
Majlis tersebut yang disokong oleh Persatuan Kesihatan Qigong Malaysia, diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Tuan Wong Chen, Ahli Parlimen Subang. Turut hadir adalah Professor Madya Dr Anthony Ho Siong Hock, Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor’s University, Tan Leong Teck, Pengerusi Persatuan Kesihatan Qigong Malaysia, dan Wang Yi, Office Director, Health Qigong Administrative Centre of General Administration of Sport of China.
Berucap di majlis penutupan, YB Tuan Wong Chen turut memuji usaha tersebut dengan berkata, “Majlis hari ini menunjukkan bagaimana Qigong boleh dijadikan sebagai jambatan untuk hubungan budaya di peringkat serantau. Melalui inisiatif seperti inilah kita dapat mewujudkan dunia yang saling berhubung dan memahami serta memupuk komuniti global yang lebih harmoni. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan acara ini dan Taylor’s University atas komitmen mereka dalam mengukuhkan hubungan antarabangsa dan kepelbagaian budaya melalui inisiatif yang unik tersebut.”
Majlis penutupan Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023 di Taylor’s Lakeside Campus hari ini menandakan inisiatif yang sudah pasti akan terus mengukuhkan hubungan antarabangsa dan meningkatkan persefahaman antara negara. Sementara itu, Taylor’s University menjadi mercu tanda aspirasi ini, memupuk hubungan global dan memperkayakan kehidupan pelajar serta komuniti setempat.
Professor Madya Dr Anthony Ho Siong Hock, Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor’s University, turut menekankan komitmen ini, “Kami berbangga menjadi tuan rumah acara berprestij ini, kerana majlis ini bukan sahaja melambangkan komitmen kami untuk memupuk hubungan antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan kedudukan kami di persada dunia. Kejayaan acara ini dalam menyatukan pelbagai pihak menerusi amalan penyembuhan tradisional juga mencerminkan peranan Taylor’s University sebagai fasilitator dan pendorong kesalinghubungan global dan penghargaan budaya. Kami berkomitmen untuk menjadi lebih daripada sekadar institusi pendidikan, malahan berusaha untuk menjadi jambatan kepada dunia, seperti mana yang dipamerkan dalam komuniti antarabangsa kita yang majmuk dan bertenaga.”
Qigong, satu amalan tradisional Cina yang menggabungkan postur fizikal, teknik pernafasan, dan tumpuan mental untuk mengekalkan kesihatan dan kecergasan, telah menjadi tumpuan utama dalam acara ini. Berakar umbi dalam sejarah budaya Cina, amalan tradisional ini telah mendapat pengiktirafan global ke atas pelbagai manfaat fisiologinya, menjadikannya satu amalan yang penting untuk menjaga kesejahteraan diri.
Dong Jun, Director General of Qigong Management Centre of the General Administration of Sport of China berkata, “Inisiatif Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023 mewakili komitmen untuk mempromosikan amalan kesihatan ini dan pada masa yang sama memelihara budaya tradisional kami. Kemuncak program kesihatan dan kebudayaan serantau ini telah memberi kami peluang untuk memupuk pertukaran budaya yang lebih baik di antara China dan negara-negara ASEAN, sambil meningkatkan persefahaman dan kerjasama sesama kita.” Acara yang berlangsung selama sebulan itu telah memperoleh sokongan yang padu dan penyertaan yang aktif di negara-negara ASEAN lantas menunjukkan kepentingan kem ini.