Rezeki Musim Banjir, Penduduk Teruja Ikan Tapah Gergasi Seberat 75Kg Tersangkut Pada Pukat
KUALA TERENGGANU — Seekor ikan tapah ‘gergasi’ seberat 75 kilogram (kg) berjaya dibawa naik di Sungai Nerus pada Isnin, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, kira-kira 30 minit masa yang diperlukan oleh empat orang penduduk dari Kampung Kuala Belara, Manir untuk membawa naik ikan gergasi itu.
Menurut Ahmad Zalil Awang, 57, pada pukul 7 pagi ikan itu ditemukan tersangkut pada pukat yang ditahan di sungai tersebut.
“Pada mulanya saya menyangkakan ia seekor buaya sebab nampak kelibat dari jauh sedang menggelepar di dalam pukat. Bila saya sampai dekat baru tahu rupa-rupanya ia mengena seekor ikan.
“Ini pertama kali saya dan rakan-rakan menangkap ikan sebesar ini kerana saya difahamkan kali terakhir ikan tapah bersaiz besar pernah dinaikkan di sini dalam 15 tahun lepas,” ujarnya sewaktu ditemui pemberita hari ini.
Tambahnya, selain ikan itu, terdapat lima ekor ikan tapah lain turut tersangkut pada pukat yang ditahan. Difahamkan, setiap daripadanya seberat 29kg, 25kg, dan dua ekor lagi seberat 11kg.
Jumlah Jualan Berharga RM3,800
Mengulas lebih lanjut, dia berkata hasil penjualan kesemua ikan itu bernilai RM3,800 termasuk ikan tapah gergasi yang berharga RM1,800 dibahagikan bersama tiga rakannya lagi iaitu Abdullah Mat Ali, 56, Ariffin Ibrahim, 50, dan Che Wan Izan Che Wan Othman, 40.
BACA JUGA: Sedap & Menyelerakan, Resipi Mudah Buat Kek Pisang Versi Kukus
Sementara itu, Abdullah menafikan pelbagai dakwaan serta teori berhubung kemunculan ikan-ikan berkenaan yang dikaitkan dengan banjir.
Sebaliknya, dia memberitahu sewaktu musim tengkujuh, sudah menjadi kebiasaan untuk spesies-spesies itu berada berhampiran permukaan sungai untuk proses bertelur.
“Orang kampung di sini sudah biasa nampak ikan tapah gergasi cuma belum ada rezeki dapat. Biasanya yang ditangkap berat sekitar 30 hingga 40kg sahaja.
“Rasanya banyak lagi ikan dalam Sungai Nerus tu sebab pernah nampak yang lagi besar mungkin dalam 100kg. Setiap kali musim tengkujuh memang selalu nampak sebab ikan-ikan ni akan cari habitat air yang tenang di kawasan limpahan sungai untuk bertelur,” maklumnya.
Sumber: Sinar Harian