Ramai sangka kerja kampung tak banyak untung. Kalau korang nak tahu, dengan perkembangan teknologi sekarang ni, peladang dan penternak antara golongan yang kaya di negara kita.
Mereka bukan sahaja tak perlu risau isu bekalan beras atau daging, tapi pendapatan bulanan golongan peladang dan penternak ni boleh mencecah lima angka sebulan. Malah, mereka juga boleh menjana pendapatan tambahan dengan agro-tourism sepertimana dilakukan SN Agrofarm di Cameron Highland dan Farm Fresh di Serdang.
Kerajaan turut banyak memberi insentif kepada golongan penternak dan peladang ini sebab merekalah ‘kunci’ keterjaminan makanan di negara kita pada masa hadapan.
Daripada geran bantuan, bimbingan teknologi hinggalah rangkaian sokongan, semuanya diberikan buat para penggiat bidang ini. Jadi tak hairanlah ramai graduan muda sekarang yang semakin berminat dalam industri penternakan dan perladangan moden.
Bukan itu sahaja, graduan yang mengambil kursus pertanian juga mempunyai peluang pekerjaan yang cukup luas. Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, DS Mohamad Sabu, kebolehpasaran graduan bidang ini mencecah 70 peratus di mana mereka boleh melibatkan diri dalam mana-mana syarikat mahupun mengusahakan perniagaan agromakanan.
Dengan modal RM5,000, kini jadi supplier hotel dan restoran mewah
Kalau dulu, sebut sahaja kerja kampung, ramai terbayang membajak sawah di tengah panas, bermandi peluh mengangkat cangkul dan menunggu hasil di hujung musim. Tapi dengan teknologi moden kini, para petani dan peladang mampu kurangkan masa bekerja namun menuai hasil yang lebih tinggi.
Salah seorang agropreneur muda, Muhammad Fairuz Effindi berkongsi pengalaman beliau sebagai Pengurus Foliage Enterprise, syarikat pembekal sayuran microgreens kepada hotel dan restoran mewah sejak 2017.
Kongsi Fairuz, beliau bermula dengan modal RM5,000 secara sampingan dek kerana minatnya menanam tumbuhan selain melihat peluang dalam bidang ini. Anak muda ini juga mengambil langkah berani dengan berhenti kerja sepenuh masa untuk memfokuskan perniagaan sayuran microgreens miliknya.
Dengan bimbingan Kursus Teknologi Pengeluaran Tanaman Dalam Kilang daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), anak muda ini berjaya menaikkan kapasiti dan kualiti penghasilan mereka.
Beliau turut menerima geran sebanyak RM20,000 pada tahun 2020 bagi tujuan pembelian alatan seperti benih, lampu pertanian, medium tanaman dan rak pertanian sekaligus membantu perniagaannya yang terkesan semasa pandemik.
Daripada sekitar Lembah Klang, pasaran Foliage Enterprise kini diperluas ke Johor, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
“Sambutan dari pembeli dari hotel dan restoran mewah amat memberangsangkan dan perniagaan saya berkembang dengan baik sehingga sekarang, “ ujar Fairuz, mengharapkan perniagaannya dapat menembusi pasaran global.
https://www.facebook.com/watch/?v=6576511232439815
Graduan sains pertanian di UPM miliki 9 ekar ladang, chalet
Seorang lagi usahawan muda, Syahir berkata, hasil kerja keras selama beberapa tahun beliau kini telah memiliki 9 ekar ladang berbanding 1.5 ekar sebelumnya. Beliau yang juga pemenang Anugerah Agropreneur Muda Jaya (AMJ) HPPNK 2023, berkata, anak muda mempunyai peranan yang penting dalam kemajuan industri pertanian di Malaysia.
Menyedari kepentingan industri pertanian dalam memastikan keterjaminan makanan negara, graduan sains pertanian di Universiti Putra Malaysia itu telah memanfaatkan pengetahuan dan kepakarannya bagi mengembangkan perusahaannya di SN Agrofarm, Cameron Highland.
Beliau juga turut menerima bantuan seperti Geran Agropreneur Muda khususnya dari segi input pertanian, sistem fertigasi dan struktur rumah perlindungan hujan. Bermula dengan dua tiga jenis sayuran, kini SN Agrofarm telah mengeluarkan lebih banyak jenis hasil tanaman termasuk tomato, timun jepun, kobis serta sawi.
Malah kongsinya, beliau kini menceburkan diri dalam bidang agro pelancongan dengan membina chalet buat para pengunjung yang ingin merasai pengalaman tinggal di ladang termasuk peluang mendekati haiwan ternakan seperti kambing dan kuda.
“Saya harap lebih ramai golongan muda di luar sana ceburi bidang ini. Kita perlukan lebih ramai golongan muda untuk terlibat dalam bidang pertanian.
“Dunia sekarang penuh teknologi dan inovasi, jadi saya yakin golongan muda yang ada kekuatan dan kemahiran menggunakan segala bentuk teknologi dan inovasi ini dalam bidang pertanian di negara kita,” katanya.
HPPNK Raih RM16 Juta Jualan Dalam 3 Hari
Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) merupakan salah satu program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang diadakan setiap dua tahun.
Di sini, para petani, peladang, penternak, nelayan dan usahawan agromakanan berkumpul untuk mempromosikan produk pertanian mereka. Malah, dalam tempoh tiga hari penganjuran sahaja, mereka berjaya mendapat hasil jualan mencecah RM16 juta!
Program ini juga berjaya menarik seramai 660,987 pengunjung dengan transaksi fizikal sebanyak lebih RM3 juta manakala RM13 juta lagi transaksi berlaku secara atas talian.
Selain itu, HPPNK turut menyediakan peluang kepada orang ramai yang meminati bidang ini untuk mendapatkan pendedahan dari segi teknologi pertanian selain merasai sendiri pengalaman bercucuk tanam.
Buat saban kali, HPPNK kali ini telah diadakan bermula 10 November hingga 12 November lalu di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah.
Bertemakan “Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan”, penganjuran HPPNK ini selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030.
Selain pameran teknologi, HPPNK 2023 juga lebih mesra anak muda dengan program Townhall Healing bersama warga Agro Madani selain sesi ‘melepak’ bersama usahawan berjaya.
Bukan itu sahaja, program ini turut menampilkan artis terkenal Jamal Abdillah dan Ramli Sarip selain permainan e-sukan buat pengunjung.