Siakap Keli

Dunia Diramal Alami Kekurangan Air Bersih Menjelang 2025, Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Air adalah antara sumber alam semula jadi yang paling mustahak dan dianggap sebagai “essence of life”. Tanpa air, sebarang kehidupan termasuk manusia mungkin tak akan wujud di atas muka bumi ini.

Menurut National Geographic Society, kira-kira 70 peratus atau sekitar ⅔ permukaan planet ini diliputi air. Namun begitu, hanya kira-kira 2.5 peratus sahaja adalah air bersih yang boleh digunakan untuk tujuan minum. Selebihnya adalah air masin iaitu air laut.

Daripada 2.5 peratus tersebut, jumlah air bersih yang boleh diakses manusia pula hanya berjumlah sekitar 1 peratus yang kebanyakkan tersimpan dalam bentuk ais yang kebanyakannya berada di Kutub Utara.

Secara ringkasnya, hanya sekitar 0.5 peratus (data oleh United National) daripada keseluruhan jumlah air yang ada di planet ini tersedia sebagai sumber air minuman bersih untuk kegunaan kira-kira 8.1 billion manusia.

Jangkaan PBB menjelang 2025

Bagaimanapun, menjelang 2025, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan dunia akan berdepan masalah kekurangan sumber air bersih.

Keadaan itu akan menjejaskan secara langsung kira-kira 1.8 billion penduduk yang menetap di kawasan yang berhadapan dengan masalah kekurangan air (water scarcity).

Manakala kira-kira ⅔ populasi dunia pula menetap di kota-kota yang mengalami masalah tekanan permintaan air bersih yang tinggi. Antara punca kepada masalah tersebut adalah masalah pencemaran, pembangunan tidak terancang dan perubahan iklim.

Apabila air bersih sukar diperoleh, pelbagai masalah bakal muncul. Di kawasan-kawasan yang berdepan dengan masalah air bersih, manusia terpaksa beralih kepada sumber air alternatif yang dikhuatiri tercemar.

Kesannya, masalah kesihatan seperti diarrhea, cholera, kecacingan yang berpotensi menjadi lebih serius sehingga mampu mengakibatkan kematian. Selain itu, masalah air turut boleh menyumbang kepada masalah kemiskinan yang berpunca daripada ketiadaan aktiviti sosio ekonomi sebagaimana berlaku di sesetengah tempat. Konflik-konflik lain juga boleh muncul, terutama melibatkan perebutan sumber air bersih seperti yang berlaku di beberapa negara.

Kita di Malaysia, mungkin belum berhadapan dengan masalah bekalan air bersih yang serius. Namun yang pasti, ia bukanlah situasi yang mustahil untuk berlaku.

Atas hakikat berkenaan, wajarlah kita menggunakan air bersih secara berhemat ketika masih berkesempatan.

Beralih kepada produk cekap air

Banyak yang boleh kita buat sebenarnya, tetapi jom mulakan dengan penggunaan produk cekap air terlebih dahulu.

Benda apa pula produk cekap air ni dan macam mana kita nak kenal produk cekap air?

Senang sahaja, produk cekap air boleh dikenali melalui label Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) yang diperkenal oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

SPPCA boleh dikenal pasti melalui penarafan bintang iaitu satu, dua dan tiga bintang. Satu bintang menunjukkan bahawa produk adalah cekap air. Dua bintang menunjukkan bahawa produk sangat cekap air. Tiga bintang menunjukkan bahawa produk paling cekap air.

Selain bintang, terdapat maklumat nombor pendaftaran SPPCA, jenama, model dan jumlah penggunaan air tertera pada label ini.

Jadi, apakah jenis produk-produk cekap air yang ditawarkan dalam pasaran dan ada pelekat SPPCA?

Menurut SPAN, terdapat lima jenis produk yang dibawah SPPCA iaitu pili (tap) air (termasuk tap basin, tap sinki, tap pancuran mandi dan tap wuduk); tangki tandas dua simbahan; peralatan urinal (injap simbah); pancuran mandi dan mesin basuh.

Jimat bil sehingga 50 peratus

Namun, persoalan terbesar adalah, kenapa kita kena pilih dan guna produk cekap air?

Selain untuk memastikan kelestarian bekalan air terawat untuk kegunaan manusia, produk-produk cekap air dengan label SPPCA juga boleh membantu pengguna melakukan penjimatan bil sehingga 50 peratus.

Kita sebenarnya sudah tidak ada banyak masa dan usaha memelihara planet yang menjadi rumah manusia sejak sekian lama ini perlu bermula daripada sekarang.

Tugas untuk menjaga sumber alam ini termasuk sumber air bersih untuk generasi akan datang adalah tanggungjawab kita semua.

Untuk maklumat lanjut berkenaan SPPCA, boleh layari laman web, Facebook dan Twitter SPAN.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.