Siakap Keli
denda konsert kelantan
Kredit: BERNAMA

Denda Lebih RM10,000 Penganjur Konsert Di Kelantan Gagal Patuhi Peraturan

Denda Lebih RM10,000 Penganjur Konsert Di Kelantan Gagal Patuhi Peraturan

KOTA BHARU, 28 Nov (Bernama) — Kerajaan Kelantan akan mengenakan denda melebihi RM10,000 berikutan pelanggaran syarat oleh pihak penganjur konsert sempena Pesta Loy Kratong di Bachok, Jumaat lepas.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata konsert berkenaan tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan kerana ia mempunyai permit untuk penganjuran, namun gagal mematuhi sebahagian peraturan ditetapkan.

“Pihak penganjur memohon permit untuk acara berkenaan pada 25 Jun dan permit hanya diluluskan pada 20 Sept selepas kita menjelaskan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi termasuk lokasi penganjuran tertutup serta hanya dihadiri penganut agama mereka sahaja.

“Bagaimanapun pihak penganjur gagal mematuhi sebahagian peraturan ditetapkan dan antara kesalahan dikenal pasti adalah menampilkan penyanyi dari Thailand yang tidak mematuhi etika pemakaian selain membenarkan pengunjung beragama Islam ke konsert berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR Kelantan Nor Azmiza Mamat yang menuntut kerajaan negeri menyiasat satu konsert memaparkan kumpulan penyanyi wanita dari Thailand yang berpakaian mencolok mata didakwa dianjurkan di Kampung Balai, Bachok, Jumaat lepas.

BACA: Kelantan Keluarkan Jenama Beras Sendiri Tahun Hadapan

Beliau berkata susulan video berkenaan, pihaknya sudah melakukan siasatan dan proses pendengaran semalam yang dihadiri beberapa pihak termasuk wakil Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam, pihak polis, pejabat agama dan penganjur.

“Pihak penganjur di Bachok mengakui seorang anggota Rela yang diupah di konsert berkenaan, gagal mengawal keadaan sehingga acara itu turut dikunjungi pengunjung beragama Islam.

“Sedangkan poster berhubung acara berkenaan sudah dibuat dalam bahasa Thailand dan konsert keagamaan yang diadakan secara tahunan itu hanya untuk penganut beragama Buddha,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini