Siakap Keli
India: 41 Pekerja Terperangkap Dalam Runtuhan Terowong Diselamatkan Selepas 17 Hari
Kredit: Bernama

India: 41 Pekerja Terperangkap Dalam Runtuhan Terowong Diselamatkan Selepas 17 Hari

India: 41 Pekerja Terperangkap Dalam Runtuhan Terowong Diselamatkan Selepas 17 Hari

NEW DELHI, 29 Nov (Bernama) — Seramai 41 pekerja binaan yang terperangkap dalam terowong jalan raya yang runtuh di India selama 17 hari berjaya diselamatkan pada Selasa.

Menteri Pengangkutan Jalan dan Lebuhraya Nitin Gadkari berkata operasi menyelamat melibatkan pelbagai agensi diselaras dengan baik menjadikannya antara operasi menyelamat terpenting sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pelbagai jabatan dan agensi saling melengkapi antara satu sama lain walaupun berdepan pelbagai cabaran,” kata menteri itu.

Pekerja itu terperangkap lebih 200 meter dari pintu masuk terowong setelah sebahagian daripada terowong Silkyara sepanjang 4.5 kilometer (km) di daerah Uttarkashi, Uttarakhand runtuh pada 12 Nov.

Penyelamat menghadapai banyak kesukaran, termasuk kerosakan peralatan semasa menggerudi dengan peralatan berat untuk mencapai kedudukan mangsa.

Sepanjang tempoh itu, semua pekerja menerima makanan, air, oksigen dan ubat-ubatan melalui paip.

Mereka akhirnya muncul seorang demi seorang di atas pengusung beroda melalui paip pemindahan berukuran 90 cm yang dibina melalui runtuhan terowong.

Beberapa meter terakhir penggerudian kira-kira 60 meter itu dilakukan secara manual oleh pelombong yang dikenali “pelombong tikus”.

Sementara itu, ahli keluarga pekerja, penduduk tempatan, penyelamat dan pegawai kerajaan yang hadir di lokasi kejadian bersorak meraikan kejayaan mengeluarkan semua mangsa terlibat.

“Ini hari besar bagi kami. Semua pekerja akhirnya berjaya diselamatkan,” kata seorang penyelamat.

Semua pekerja yang kelihatan sihat tetap dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Ahli-ahli politik dan pegawai kerajaan merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan pasukan penyelamat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan (menyelamat) dan semua pakar yang bertindak dengan keberanian yang luar biasa untuk melaksanakan antara misi menyelamat paling sukar dalam sejarah,” kata Presiden India Droupadi Murmu.

Sementara itu, operasi menyelamat adalah penantian yang menakutkan bagi ahli keluarga mangsa.

“Anak saya pergi bekerja di Uttarakhand tanpa bagi tahu kami. Bila dia balik nanti, kami akan pastikan dia tidak keluar tanpa bagi tahu kami dulu,” kata Charku Bedia dari negeri Jharkhand kepada media tempatan.

Terowong yang terletak di kawasan Himalaya dan sensitif dari segi ekologi adalah sebahagian daripada projek lebuh raya untuk mengurangkan jarak perjalanan antara tapak ziarah Hindu di Uttarakhand.

Anggaran kos keseluruhan projek jalan Char Dham sepanjang 890 km itu ialah US$1.5 bilion. Pekerja terowong itu berasal daripada pelbagai negeri, termasuk Bihar, Bengal Barat, Odisha dan Uttar Pradesh.

BACA: Usia Kehamilan Lebih Awal Dari Tarikh Nikah? Kemungkinan Bunting Pelamin, Ini Maksudnya

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma