Usia Kehamilan Lebih Awal Dari Tarikh Nikah? Kemungkinan Bunting Pelamin, Ini Maksudnya
Bayangkan si suami gembira apabila mengetahui isterinya bakal melahirkan cahaya mata yang pertama dalam keluarganya.
Tiba-tiba, mata suami melirik ke arah buku merah jambu, yang mana sering digunakan untuk merekodkan maklumat berkenaan perihal kehamilan isteri.
Matanya terbeliak apabila mendapati usia kehamilan isterinya seminggu lebih awal daripada tarikh pernikahan mereka.
Kaki terasa lemah, jantung berdegup kencang, perasaan bercampur baur dan sudah semestinya fikiran sudah berkecamuk.
Bagi sesiapa yang sedang menghadapi situasi di atas dalam melihat seseorang yang ‘hamil’ lebih awal daripada tarikh pernikahan, diminta untuk menarik nafas perlahan-lahan dan bertenang buat seketika.
Tindakan yang secara melulu boleh membawa padah dan berita yang tidak sahih disebarkan boleh menjadi fitnah besar buat sang ibu.
Berkemungkinan wanita tersebut hanya mengalami situasi yang yang dipanggil sebagai bunting pelamin.
Malah, istilah ‘bunting pelamin’ tersebut dianggap sebagai satu misnomer iaitu, nama atau istilah yang tidak betul atau tidak sesuai untuk seseorang atau benda.
Apabila menyebut bunting pelamin, ada yang menyangka bahawa pengantin perempuan telah hamil sebelum majlis persandingan atau ketika berkahwin.
Pada hakikatnya, sangkaan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Pengertian sebenar bagi istilah ini adalah wanita yang hamil betul-betul selepas atau sejurus berkahwin atau bersanding.
Misalnya, pasangan pengantin telah mengikat tali pernikahan pada 18 November 2023. Dalam sebulan kemudian, pengantin perempuan telah disahkan hamil.
Namun, wanita tersebut dianggarkan telah hamil selama satu bulan satu minggu. Mungkin persoalan baru timbul, mana datang satu minggu tu?
Jawapannya, usia kehamilan tidak sama dengan usia janin di dalam kandungan.
Menurut Very Well Family, sangat penting bagi pasangan, khususnya ibu bapa yang bakal menerima cahaya mata untuk membezakan kedua-duanya.
Usia kehamilan atau (gestational age) akan bermula pada tarikh akhir haid (LMP). Kemudian, usia embrionik (yang kemudiannya akan dirujuk sebagai usia janin) akan bermula pada waktu persenyawaan iaitu, ketika sperma memasuki telur di Tiub Fallopio.
Kebiasaanya, usia janin akan berada dua minggu kebelakang dari usia kehamilan dan menggambarkan usia sebenar janin tersebut.
Kalau usia kehamilan tidak menggambarkan usia sebenar janin, kenapa masih penting?
Usia kehamilan masih lagi penting, khususnya dalam penjagaan pranatal. Penentuan permulaan tempoh kehamilan ini sangat penting bagi membantu golongan ibu dan pekerja perubatan untuk menilai tumbesaran janin.
Selain itu, ini juga dapat membantu dalam menentukan tarikh jangkaan bersalin, penjadualan bagi pemeriksaan dan ujian pranatal.
Doktor juga akan merujuk usia kehamilan untuk merawat keadaan bayi-bayi yang dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan dalam kandungan, mahupun terlebih masa dalam kandungan.
Secara kesimpulannya, jangan panik apabila berdepan dengan situasi tersebut dan sebaik-baiknya bersangka baik terhadap pasangan anda.
Jika masih terdapat keraguan, anda boleh merujuk kepada pakar seperti pegawai perubatan bagi mendapatkan maklumat yang sah.
BACA: Pesawat Terbang Laju, Tetapi Kenapa Penumpang Tak Rasa ‘Bergerak’? Ini Jawapan Ramai Tak Tahu
Sumber: Hello Doktor & Very Well Family