Siakap Keli
sambutan loy krathong
Gambar: Liang Tenh via ASEAN Skyline

Kenali Loy Krathong, Perayaan Disambut Masyarakat Siam Di Kampung Balai

Kenali Loy Krathong, Perayaan Disambut Masyarakat Siam Di Kampung Balai

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa. Dari situ jugalah terdapatnya budaya yang pelbagai menurut bangsa-bangsa tersebut. Setiap tahun, rakyat Malaysia pasti akan menyambut perayaan-perayaan yang disambut oleh mereka.

Antara perayaan yang sering disambut adalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Thaipusam dan banyak lagi. Boleh dikatakan setiap perayaan itu disambut dengan meriah oleh kaum dan penganut agama masing-masing.

Baru-baru ini pula, terdapat sambutan Loy Krathong oleh masyarakat Siam di Kampung Balai, Bachok di Kelantan. Menariknya, sambutan ini disambut oleh masyarakat Siam yang menetap di beberapa kawasan di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Kalau nak tahu apa yang menarik tentang perayaan Loy Krathong, mari ikuti sedikit perkongsian info menarik seperti yang dikongsikan di laman Facebook ASEAN Skyline dan juga ASEAN Culture & History.

Loy Krathong

Menurut ASEAN Culture & History, Loy Krathong merupakan sebuah perayaan yang disambut oleh penganut Buddha di Thailand. Namun ia turut disambut oleh rakyat Malaysia beretnik Siam di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Daripada sudut definis, Loy dalam bahasa Thailand bermakna ‘mengapungkan’, manakala Krathong pula ‘bakul’ atau ‘bot’. Ini bermaksud Loy Krathong adalah mengapungkan bakul. Jadi ‘amalan’ utama dalam sambutan  Loy Krathong ini adalah mengapungkan bakul di atas sungai.

Gambar: Liang Tenh via ASEAN Culture & History

Merujuk Asia Highlights, ketika perayaan tersebut, masyarakat Siam akan turun ke sungai, tasik atau terusan untuk ‘melayarkan’ sebuah bakul. Difahamkan ia simbolik kepada ‘melepaskan’ emosi negatif serta memberi penghormatan kepada semangat air.

Manakala bakul yang mereka lepaskan itu biasanya diperbuat daripada batang pokok pisang, styrofoam beserta roti dan hiasan-hiasan seperti lilin, bunga dan seumpamanya.

Perayaan ini diadakan pada malam bulan penuh, iaitu pada bulan 12 mengikut kalendar Thai. Ia bersamaan dengan bulan Oktober atau bulan November. Justeru untuk tahun ini, tarikh perayaannya jatuh pada 27 November beberapa hari lepas.

Gambar: Liang Tenh via ASEAN Skyline

Orang Siam Kampung Balai, Bachok

Sementara itu, difahamkan kebanyakan penduduk di Kampung Balai di Bachok, Kelantan merupakan masyarakat Siam tempatan. Ia bermaksud rakyat warganegara Malaysia yang berketurunan Thailand. Kebanyakan daripada mereka pula adalah beragama Buddha.

Gambar: Liang Tenh via ASEAN Skyline

Lingua franca atau bahasa pengantara antara penduduk kampung di situ ialah Bahasa Thailand, namun kebanyakan mereka di sana fasih juga berbahasa Melayu. Terdapat juga golongan masyarakat muda yang berkebolehan untuk bercakap menggunakan Bahasa Mandarin.

Gambar: Liang Tenh via ASEAN Skyline

Dalam pada itu, menurut Buku Sejarah Jajahan Negeri Kelantan, istilah ‘balai’ dalam bahasa Thailand ialah bermakna ‘bunga kampung’. ‘Balai’ pada nama ‘Kampung Balai’ ialah merujuk kepada dewan perhimpunan atau lokasi perjumpaan masyarakat Siam di kawasan itu.

Difahamkan masyarakat Siam dan Cina telah tinggal dan berasimilasi di Kampung Balai sejak kira-kira 200 tahun yang lalu. Ketika zaman dulu, pekerjaan masyarakat Siam di sana adalah bertani kerana tanah di situ subur.

Gambar: Liang Tenh via ASEAN Skyline

Daripada sudut ritual keagamaan, masyarakat Siam di Kampung Balai telah mendirikan ‘wat‘ atau candi yang dinamakan Wat Phithikyan Phutthaktam pada 1993 yang dibina hasil kerjasama orang kampung (Siam), kumpulan sami serta penduduk dari Perupok.

Menariknya, pembinaan kuil itu turut mendapat sokongan sumbangan dana serta bantuan bagi pembangunannya dari dalam dan luar negara. Kini, kuil Wat Phothikyan Phutthaktham merupakan salah sebuah kuil terkemuka di Kelantan dan sentiasa dikunjungi pelancong.

Gambar: Tripadvisor/Google

Sumber: ASEAN Skyline / ASEAN Culture & History / Asia Highlights / Perpustakaan Awam Bachok

BACA JUGA: Pelancong Indonesia Puji TBS, ‘Dah Macam Airport’

Nurul Alya

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'