Siakap Keli
runtuhan gudang mangsa
Gambar; Bernama

Runtuhan Gudang: Empat Mangsa Yang Dikhuatiri Terperangkap, Dikesan Melarikan Diri 

Runtuhan Gudang: Empat Mangsa Yang Dikhuatiri Terperangkap, Dikesan Melarikan Diri 

GEORGE TOWN, 29 Nov (Bernama) — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi mangsa runtuhan gudang logistik di Batu Maung di sini ditamatkan pada 6.30 petang tadi selepas semua mangsa disahkan masih hidup.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata kesemua mereka dikesan melarikan diri berkemungkinan kerana ketakutan disebabkan tiada permit.

Menurutnya, semua mereka sudah ditahan kira-kira 4 petang tadi di sekitar kawasan Bayan Lepas dan kini dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Kami sudah jalankan SAR sejak 10.30 malam semalam hingga 6.30 petang ini menggunakan lima elemen iaitu Juru Analisa Tempat Kejadian (CSI), Unit Anjing Pengesan (K9), mengorek keseluruhan runtuhan, dron selain bantuan daripada Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

“Bagaimanapun, dapatan kita bahawa empat mangsa di bawah timbunan yang diberitahu majikan dan mandur sebenarnya ada di tempat kejadian semasa runtuhan berlaku dan melarikan diri,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohamed Usuf berkata penelitian kamera litar tertutup (CCTV) mendapati keempat-empat mereka dirakam berada di lokasi runtuhan di atas bangunan dalam pembinaan itu pada 9.06 malam dan melarikan diri ketika kejadian.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan angka mangsa yang terlibat dalam kejadian itu kekal lima orang dengan tiga daripada mereka meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Md Ahed Ali, 42, Mohammad Mokaddes Ali, 46, dan Mohd Sayful Islam, 29.

BACA JUGA: Runtuhan Gudang: CIDB Lakukan Siasatan Terperinci

Dua mangsa yang parah pula adalah Md Uzzal Mridha, 30, patah kaki kiri manakala Md Razu Ahamad, 33, cedera di kepala dan leher dan kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Mohamed Usuf berkata setakat ini siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan lanjut akan dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pasukan bomba.

“Dapatan daripada siasatan oleh agensi terbabit akan diserahkan polis dan jika ada elemen-elemen tertentu mungkin kami akan klasifikasikan kes mengikut seksyen bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Zulfahmi Sutaji berkata pihaknya akan kekal di lokasi tetapi kekuatan anggota akan dikurangkan.

“Kami akan berada di sini untuk membuat siasatan sekiranya terdapat penemuan baharu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.58 malam semalam, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik yang dalam pembinaan itu runtuh manakala dua lagi mangsa dilaporkan parah dan dibawa ke HPP untuk menerima rawatan.

Tapak binaan gudang logistik itu terletak di bahagian selatan Pulau Pinang dan bangunan itu merupakan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir dan gudang.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?