Datuk 17 Cucu Berjaya Genggam PhD Pada Usia 79 Tahun
Walaupun sudah berusia 79 tahun, status warga emas yang dipegang oleh seorang datuk kepada 17 orang cucu tidak menghalangnya daripada menggenggam skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Dr Muharam Awang, seorang pesara guru berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, lapor Sinar Harian.
Walaupun begitu, beliau mengakui proses untuk menamatkan pengajian peringkat tertinggi tersebut penuh dengan pelbagai cabaran.
Jelasnya, beliau terpaksa berulang-alik dari Melaka ke kampus sepanjang pengajian selain turut berdepan masalah katarak sehingga menyebabkan mata kabur.
Namun, semua cabaran yang dihadapi bukan batu penghalang untuk beliau kecapi kejayaan manis apabila menamatkan pengajian tersebut.
“Saya terpaksa meminta anak yang tinggal di Batu Pahat, Johor untuk menaipkan tesis bagi kajian yang dilaksanakan selepas mendapat tunjuk ajar serta sokongan daripada penyelia iaitu Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr Zubir Idris.
“Mata saya kabur dan tidak dapat membaca sewaktu mahu menyiapkan tesis. Saya menjalani pembedahan katarak pada Mei lalu dan alhamdulillah selepas pandangan pulih, tesis itu berjaya disiapkan,” katanya.
Difahamkan, graduan warga emas berkenaan menerima skrol PhD Kesusasteraan Melayu pada Majlis Konvokesyen UKM ke-51.
Skrol pengajiannya telah disampaikan Pro-Canselor UKM, Tan Sri Mohd Zuki Ali. Seramai 7,255 graduan dilaporkan turut menerima ijazah masing-masing di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi.
Tambahnya, masyarakat pada waktu dahulu begitu menyanjungi guru sekolah menengah sedangkan dia ketika itu mengajar di sekolah rendah.
“Dari situ, wujud rasa rendah diri ditambah lagi saya pernah dicabar. Jadi saya sambung pengajian diploma pada 1965. Sebelum bersara, saya juga pernah mengajar tingkatan enam untuk subjek Pengajian Am dan tenaga pengajar di kolej,” jelasnya.
Muharam berkata, sikapnya yang sangat cinta dan dahagakan ilmu menjadi pemangkin untuk menamatkan pengajian walaupun berdepan kesukaran ketika menyiapkan tesis.
“Pada peringkat awal, saya berdepan banyak masalah ditambah lagi apabila memerlukan kemahiran komputer. Bagi saya, perkara teknikal ini susah.
“Alhamdulillah, selain pertolongan penyelia dan sokongan isteri Fuziah Md Taha, 71, anak-anak juga sangat membantu. Mereka pun melanjutkan pengajian ke universiti sekali gus menjadi motivasi kepada saya,” ujarnya.
Baginya, pengalaman menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah adalah satu kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan perkataan.
BACA: Dah Berhenti Tapi Bau Masih Tersisa? Ini Tips Untuk Hilangkan Bau Rokok Dalam Kereta
Sumber: Sinar Harian