Siakap Keli
Rafizi Ramli Bakal Bentang Kertas Putih Dasar Gaji Progresif Pada 3 Petang Ini
Kredit: X

Kertas Putih Dasar Gaji Progresif Dibentang Petang Ini – Rafizi

Kertas Putih Dasar Gaji Progresif Dibentang Petang Ini – Rafizi

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli bakal membentangkan Kertas Putih Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat pada pukul 3.00 petang, hari ini.

Beliau telah membuat pengumuman tersebut menerusi ciapan di laman X rasminya (@rafiziramli) sebentar tadi.

“Hari ini, bermula jam 3 petang, saya akan membentangkan Kertas Putih Dasar Gaji Progresif untuk dibahaskan oleh Ahli Parlimen,” katanya dalam ciapan tersebut.

Kata Rafizi, ini merupakan kali pertama satu kertas putih berkenaan gaji rakyat dibentangkan secara khusus di Parlimen negara ini.

Dalam hantaran tersebut, Rafizi menyatakan hasratnya untuk membantu mewujudkan tenaga dan pasaran kerja yang lebih dinamik di Malaysia.

“Gaji yang lebih baik, peluang kerjaya yang sepadan dengan kelulusan dan kemahiran. Pasaran kerja yang mengangkat mereka yang rajin dan mahu ke depan,” katanya lagi.

Menurut Rafizi, masalah gaji rakyat sudah menjadi fokus utama kementeriannya sejak hari pertama beliau bertugas sebagai menteri.

“Kami berharap dengan data-data yang telah dibentangkan setakat ini dari Statistik Upah Sektor Formal, ramai yang boleh bersetuju bahawa gaji rakyat wajar dinaikkan.”

Usaha menyelesaikan masalah gaji di Malaysia merupakan usahasama antara dua kementerian

Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan bahawa usaha untuk menyelesaikan masalah gaji di Malaysia sebenarnya dipikul oleh dua orang menteri.

Selain beliau, perkara berkenaan turut menjadi tumpuan utama Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Dato’ Seri Anwar Ibrahim menumpukan usaha menyelesaikan masalah gaji kakitangan awam, sementara saya memberi tumpuan kepada gaji sektor swasta,” katanya.

Pada masa yang sama, Rafizi maklum bahawa usaha menaikkan gaji rakyat ini akan mengambil masa yang agak lama kerana melibatkan banyak perkara lain seperti penstrukturan semula ekonomi negara.

Tambahnya, kesannya mungkin hanya dirasai selepas beliau tidak lagi berada dalam politik dan berharap menteri-menteri selepasnya dapat memberi tumpuan kepada isu ini secara konsisten.

Sungguhpun begitu, Rafizi menzahirkan rasa bersyukur kerana dapat membuka jalan untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat gaji yang lebih baik.

“Namun saya bersyukur kerana berpeluang memulakan langkah ke arah mewujudkan sistem gaji yang lebih baik kepada semua pekerja di semua peringkat dengan pembentangan hari ini,” katanya lagi.

Pada akhir ciapannya, beliau mengajak orang ramai untuk menonton perbahasan berkenaan di Parlimen pada 3.00 petang ini.

BACA: Ingat Lagu Galau, Vokalis D’Masiv Dedah ‘Rindu Setengah Mati’ Sebenarnya Lagu Ketuhanan

Sumber: rafiziramli via X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma