Siakap Keli
Gambar via Britannica

Ini Lima Tempat Di Dunia Yang Tiada Undang-Undang

Ini Lima Tempat Di Dunia Yang Tiada Undang-Undang

Di Malaysia, kita mempunyai undang-undang untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Begitu juga dengan negara-negara lain yang mana masing-masing mempunyai undang-undangnya sendiri.

Tetapi, tahukah anda bahawa terdapat beberapa tempat di dunia ini yang tidak mempunyai undang-undang? Ada sebab mengapa tempat-tempat itu tidak mempunyai undang-undang.

Tempat yang dimaksudkan ialah Antartika, Perairan Antarabangsa, Wilayah Afghanistan Barat, Bir Tawil di Afrika dan Slab City di California. Perkongsian ini akan memberi penjelasan yang lebih lanjut untuk anda.

Antartika

Gambar via Britannica

Tempat yang pertama ialah Antartika dan ia mempunyai perjanjian pada tahun 1959 untuk memastikan benua itu bebas digunakan oleh semua orang. Namun, benua Antartika sering dianggap sebagai bongkah ais yang besar yang tidak mempunyai sebarang sumber semula jadi. Ia menjadikan tempat itu tidak boleh didiami.

Sebaliknya, benua itu telah disumbangkan kepada para saintis untuk mereka melakukan kajian-kajian dan eksperimen ke atasnya. Selain itu, Antartika tidak mempunyai sebarang negara yang memiliki atau mentadbirnya. Jadi, tiada sebarang penggubal undang-undang di situ.

Namun, ia mempunyai perjanjian yang dinamakan Perjanjian Antartika pada tahun 1959. Ia telah ditandatangani oleh negara-negara yang mempunyai saintis di dalam dan di sekitar Antartika dan telah menjalankan penyelidikan mereka.

Ia telah dipersetujui oleh penandatangan yang asal, iaitu tujuh negara yang menuntut wilayah di Antartika seperti Argentina, Australia, Chile, Perancis, New Zealand, Norway dan juga United Kingdom. Apabila Perjanjian Antartika itu dilaksanakan sejak 1961, terdapat negara-negara lain di dunia yang turut menggunakannya.

Ada empat perjanjian antarabangsa utama yang berkuat kuasa di Antartika seperti Perjanjian Antartika 1959, Konvensyen untuk Pemuliharaan Anjing Laut Antartika 1972, Konvensyen Pemuliharaan Sumber Hidupan Marin Antartika 1980 dan Protokol Perlindungan Alam Sekitar kepada Perjanjian Antartika pada tahun 1991.

Daripada sudut perundangan, perjanjian ini hanya sah kepada negara-negara yang menandatanganinya sahaja. Bagi yang tidak menandatangani perjanjian, Antartika tidak mempunyai undang-undang yang termaktub ke atasnya.

Perairan Antarabangsa

Gambar via Marine Insight

Seterusnya, Perairan Antarabangsa. Ia merupakan kawasan perairan lebih daripada 12 batu nautika dari mana-mana badan air yang mengelilingi sebuah negara dan ia tidak ditadbir oleh sebarang undang-undang berdaulat.

Tetapi, walaupun ia dianggap sebagai perairan tidak berundang-undang, Konvensyen bagi Lautan Tinggi telah mengambil alih. Ia untuk memastikan bahawa aktiviti lanun dan pembunuhan adalah diharamkan dan sesiapa yang ditangkap melakukan kesalahan itu akan dibicarakan melalui Admiralty Law.

Sepanjang abad ke-20, terdapat banyak percubaan untuk membuat satu undang-undang laut antarabangsa. Perbincangan ini memuncak dalam Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ketiga dan terkini (berlangsung di Teluk Montego, Jamaica, pada tahun 1982) yang sebahagian besarnya berjaya, menyebabkan lebih daripada 160 negara menandatangani perjanjian menjelang 2017.

Beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan negara-negara lain yang menghadap perairan laut seperti Columbia, Venezuela dan Turki masih belum menandatangani perjanjian itu lagi. Namun, perjanjian itu mempunyai had daripada segi skop dan kesan kerana ia hanya digunakan di kawasan 12 batu atau kurang daripada perairan sesebuah negara itu.

Segala jenayah yang dilakukan di luar zon 12 batu itu, undang-undang negara yang memiliki kapal atau struktur di mana jenayah itu dilakukan akan bertindak. Walaupun ia kelihatan mudah, tetapi kapal di laut sering bergerak dan ia menimbulkan kesukaran untuk penyiasat dan pegawai kerajaan.

Wilayah Afghanistan Barat

Gambar via Wikipedia

Beralih pula kepada Wilayah Afghanistan Barat. Ia turut dikenali sebagai ‘Afghanistan Yang Tidak Ditadbir’. Di kawasan ini, undang-undang puak digunakan oleh pelbagai puak (atau kabilah) orang asal di kawasan ini dan menyebabkan sebahagian daripada kawasan itu tidak ditadbir kerajaan.

Ia merupakan kawasan yang tidak dituntut oleh kerajaan, jadi ia telah ditadbir oleh ketua-ketua puak penduduk asal. Cara pentadbiran ini dikenali sebagai Rebel Rule of Law. Setelah masa berlalu, puak Taliban telah menggantikan adat dan sistem penyelesaian konflik dan keadilan negara dengan mahkamah mereka sendiri di kawasan-kawasan yang mempunyai pengaruh dan kawalan mereka.

Sistem keadilan itu merupakan satu-satunya sistem yang mereka punyai di kebanyakan kawasan di Wilayah Afghanistan Barat. Ini kerana, kerajaan negara tidak mempunyai pengaruh yang berleluasa di kawasan-kawasan terpencil seperti itu.

Perundangan Taliban bermula dari perjuangan untuk membangunkan sistem keadilan negara sendiri yang berfungsi di Afghanistan selepas tahun 2001 serta pelanggaran undang-undang yang kerap berlaku di kawasan-kawasan ini.

Jika bukan disebabkan kegagalan untuk memastikan adanya keadilan untuk rakyat Afghanistan oleh kerajaan negara, mahkamah syariah pasti tidak akan menjadi aset terkuat bagi puak Taliban. Tetapi, ketiadaan undang-undang di situ telah mengakibatkan pelbagai kekacauan. Keperluan dan keinginan untuk mempunyai undang-undang yang lebih formal telah meningkat disebabkannya. Keinginan mereka itu diterima oleh pemimpin tempatan.

Bir Tawil, Afrika

Gambar via Wikimedia Commons

Bir Tawil merupakan sebidang tanah di satu kawasan yang agak asing di benua Afrika. Ia juga dianggap tanah yang ‘dilupakan’ dan tidak dituntut oleh Mesir dan Sudan. Dipercayai tanah itu dibeli oleh seorang bapa di Amerika Syarikat untuk meraikan anak perempuannya. Ia membeli tahah tersebut melalui derma orang ramai untuk mendapatkan 250,000 dolar (RM1,168,250) bagi memulakan ‘negara’ baharunya.

Bir Tawil terletak di tengah-tengah sempadan antara Mesir dan Sudan, tetapi ia tidak dituntut oleh kedua-duanya. Ini kerana, ia merupakan hasil penjajahan di Timur Laut Afrika ketika era British mengawal Mesir dan Mesir mempengaruhi Sudan.

Pada tahun 1899, kerajaan British telah menandatangani perjanjian untuk memisahkan Sudan dan Mesir di sepanjang garisan selari. Tetapi, tiga tahun kemudian, mereka mendapati bahawa terdapat sebuah gunung bernama Bartazungu yang dihuni oleh suku Ababda nomad yang mempunyai pertalian yang kuat dengan sejarah Mesir.

Ini menyebabkan British menandatangani lagi satu perjanjian untuk memberikan sebidang tanah yang kecil daripada Sudan ke Mesir. Tanah itu telah menjadi tempat pertikaian mengenai wilayah Hala’ib di mana Bir Tawil terletak, setelah Sudan mencapai kemerdekaan pada 1956.

Tuntutan wilayah itu berpunca daripada persaingan dokuman Mesir dan Sudan yang bercanggah antara satu sama lain mengenai hak milik tanah itu. Walaupun terdapat persaingan untuk menuntut tanah ini, sebenarnya, Bir Tawil dipercayai mempunyai status sebagai terra nulius yang sah. Maksud terra nulius adalah “nobody’s land” atau tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa.

Slab City, California

Gambar via NBC News

Tempat yang terakhir adalah Slab City yang terletak di California. Bandar ini tidak jauh daripada kawasan yang mempunyai orang ramai. Ia hanya 100 batu daripada San Diego Timur dan merupakan satu alternatif tempat tinggal komuniti percuma untuk orang ramai.

Difahamkan ia adalah bekas kubu tentera ketika Perang Dunia Kedua iaitu Marine Barracks Camp. Tempat itu mendapat namanya daripada timbunan atau slabs konkrit yang ditinggalkan di kubu tentera itu. Antara penyebab utama untuk manusia tinggal di situ adalah faktor kemiskinan. Selain itu, bagi sesetengah orang, perasaan bebas daripada undang-undang dan pemerintahan juga merupakan sebab yang baik untuk menetap di situ.

Walaupun ketiadaan kerajaan (pihak berkuasa tempatan yang mengawal selia) merupakan tarikan utama bandar itu, namun terdapat laporan yang mendakwa pernah berlaku ‘sistem keadilan sendiri’ (dipercayai dalam kalangan penduduk) tanpa sebarang penguatkuasaan undang-undang atau vigilantism melalui insiden tembak-menembak atau pembakaran.

Bagaimanapun anggapan “The last free place in America” yang diberikan ke atas bandar itu hanyalah sebuah hiperbola yang tidak benar. Ini kerana, California telah mengumumkan perancangan untuk melaksanakan pengawalan dan pemilikan bandar itu dengan cara menjualnya kepada syarikat-syarikat menjana tenaga.

Selain itu, walaupun bandar itu menuntut kebebasan sepenuhnya, Jabatan Syerif Daerah Imperial dan juga Jabatan Bomba Niland sering memberikan khidmat mereka kepada bandar itu walaupun mereka tidak menerima wang cukai.

Contohnya, pada 2016, seorang penduduk Slab City iaitu Clayton Vincent Jones telah membunuh seorang wanita. Pihak polis telah menyiasat kes pembunuhan tersebut dan berjaya memberkas Clayton. Mereka telah dibantu oleh seorang lagi penduduk yang telah menelefon polis sebelum Clayton sempat melarikan diri. Setelah diberkas, dia telah dibawa ke penjara wilayah Imperial.

Sumber: Firma guaman Sawan & Sawan

BACA JUGA: Jari Bengkak Gara-gara Cincin Ketat Tersangkut

Nurul Alya