Siakap Keli
buku gopal sri um
Kredit: BERNAMA

10,000 Buku Bernilai RM9 Juta Milik Gopal Sri Ram Diserah Kepada Perpustakaan UM

10,000 Buku Bernilai RM9 Juta Milik Gopal Sri Ram Diserah Kepada Perpustakaan UM

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Keluarga mendiang Hakim Datuk Seri Gopal Sri Ram telah menyumbangkan lebih 10,000 buku dan terbitan berkala termasuk penerbitan undang-undang nadir dari seluruh pelosok dunia bernilai kira-kira RM9 juta, milik bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu kepada perpustakaan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM).

Sri Ram merupakan pendakwa utama dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, meninggal dunia pada 29 Jan lepas pada usia 79 tahun selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di sini akibat jangkitan paru-paru.

Pusat Komunikasi Korporat UM dalam kenyataan berkata koleksi yang dinamakan sebagai “Koleksi Peribadi Mendiang Hakim Datuk Seri Gopal Sri Ram” itu disumbangkan oleh Datin Seri Chandra Sri Ram kepada UM sebagai ingatan kepada Pustakawan dan Saintis Maklumat tersohor dunia, Dr S.R. Ranganathan, akan ditempatkan di perpustakaan undang-undang UM bagi memperingati hubungan mendiang Sri Ram dengan fakulti undang-undang universiti itu.

Dekan Undang-Undang UM Prof Dr Jason Chuah berkata pemberian itu penting kerana ia dibuat bagi mengenang datuk saudara Chandra, Ranganathan yang membangunkan sistem pengelasan perpustakaan iaitu pengelasan kolon.

BACA: Pemandu Bezza Miliki 11 Rekod Lampau, Peralatan Tajam

“Sistem kolon adalah asas dalam bidang sains perpustakaan dan telah mempengaruhi sistem pengelasan moden di dunia. Koleksi ini bukan sahaja bermanfaat untuk pelajar dan pengamal undang-undang tetapi juga kepada sesiapa yang perlu melakukan penyelidikan undang-undang dan arkib undang-undang nadir serta buku sains undang-undang dari semua bahagian Komanwel.

“Koleksi ini juga merangkumi satu daripada koleksi terbesar laporan undang-undang India dan buku di luar India, Asia,” katanya sambil menambah buku berkenaan telah dipindahkan ke perpustakaan undang-undang UM, menunggu pengkatalogan dan dipamerkan.

Chuah  berkata memandangkan minat mendiang Sri Ram dalam undang-undang pentadbiran, adalah tidak mengejutkan koleksi peribadinya mengandungi satu daripada katalog buku paling komprehensif mengenai perkara itu, terutama mengenai semakan kehakiman, di rantau ini.

Sementara itu, Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman menzahirkan ucapan terima kasih kepada Chandra kerana memberi sumbangan penting itu kepada UM untuk generasi akan datang.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana