Siakap Keli
Ibu zayn rayyan
Gambar: Bernama

“Sukar Nak Terima Zayn Rayyan Sudah Tiada” – Ibu

“Sukar Nak Terima Zayn Rayyan Sudah Tiada” – Ibu

SUNGAI BULOH, 7 Dis (Bernama) — Ibu kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang sejak tengah hari Selasa mengakui sukar untuk menerima kenyataan bahawa anak sulungnya itu kini sudah tiada.

Ismanira Abdul Manaf, 28, ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh hari ini pada mulanya agak keberatan untuk berkongsi perasaannya, namun menggagahkan diri untuk bercakap dengan media yang sudah berkumpul menunggu sejak 9 pagi tadi.

“Saya susah nak terima benda ini (pemergian Zayn Rayyan). Saya tak boleh tidur malam tadi. Sampai sekarang pun saya rasa Zayn Rayyan masih ada dan saya tak sangka ia akan berakhir seperti ini,” katanya dengan linangan air mata.

Seperti ada sesuatu yang bermain dalam fikiran Ismanira, dia turut meminta pihak polis untuk menyiasat kes itu dengan lebih lanjut, biarpun mayat anak kesayangannya telah dijumpai.

Mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu berada di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk prosedur bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

BACA JUGA: Penemuan Mayat Zayn Rayyan: Kita Dah Lakukan Pencarian Di Tempat Sama Tapi Tak Jumpa – Polis

Ismanira mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan Zayn Rayyan selain pihak polis, bomba dan media yang membantu mencari anaknya.

Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang sejak tengah hari Selasa di Damansara Damai ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya pada 10 malam tadi.

Menurut Ismanira jenazah anaknya akan disolatkan di Damansara Damai sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sekyen 9, Kota Damansara.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?