Siakap Keli
petinju muay thai malaysia
Kredit: ONE Championship

Petinju Muay Thai Malaysia Tumbangkan Lawan Dalam Tempoh 36 Saat

Petinju Muay Thai Malaysia Tumbangkan Lawan Dalam Tempoh 36 Saat

BANGKOK, 10 Dis (Bernama) — Petinju muay thai negara Johan Ghazali mendominasi lawannya dalam penampilan sulungnya di ONE Fight Night 17 di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand.

Dalam pertarungan kategori catchweight pada Sabtu, Johan, 17, atau lebih dikenali sebagai ‘Jojo’, menumbangkan Edgar Tabares dari Mexico dalam masa 36 saat.

Mewakili Gim Rentap Muay Thai, jaguh remaja sensasi itu melepaskan tumbukan tepat ke bahagian badan bekas pencabar gelaran ONE Flyweight Muay Thai World berkenaan sekali gus menyebabkannya rebah dan menamatkan perlawanan pada pusingan pertama,

Dengan kemenangan itu, Johan meningkatkan rekod karier beliau di ONE Championship kepada 5-0, dengan empat daripada kemenangan berkenaan dicapai melalui pukulan ‘knock out’.

“Nama saya Johan; dalam Bahasa Melayu ia bermaksud juara. Saya akan sentiasa berada dalam misi untuk membuktikannya dan hidup dengan nama saya ini.

“Pegang kata-kata saya, saya akan menjadi juara muay thai paling muda di ONE Championship,” katanya dalam  satu temu bual selepas pertarungan pada Sabtu.

Walaupun prestasi cemerlangnya, Johan tidak berjaya mendapatkan bonus kewangan yang besar kerana beliau gagal menambah berat badannya.

“Setiap perkara yang berlaku ada sebab tertentu. Ini satu halangan dalam perjalanan saya, tetapi saya akan harungi dan perbaiki apa yang perlu. Dalam pertarungan seterusnya, saya akan berikan persembahan yang hebat,” katanya.

Pada Oktober, Johan memperoleh kontrak ONE Championship bernilai US$100,000 selepas mencatatkan empat kemenangan berturut-turut.

Sumber: BERNAMA

BACA: Atlet Muay Thai Ahmad Nor Iman Aliff Raih Emas Ke-39 Negara

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini