Digugurkan Sebagai Menteri Sumber Manusia, Ini Respon V. Sivakumar
Bekas Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar tampil memberi respon selepas namanya digugurkan daripada Kabinet.
Dalam Sidang Media Pengumuman Rombakan Kabinet tengah hari tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan posisi Sivakumar diganti oleh Steven Sim Chee Keong.
Menerusi perkongsian terbaru Sivakumar di laman X, beliau mengucapkan tahniah kepada barisan baharu yang dilantik menyertai Kabinet.
“Pertama sekali, tahniah saya ucapkan kepada barisan Menteri Kabinet Malaysia terbaharu yang telah diumumkan hari ini.
Ini respon V. Sivakumar selepas digugurkan sebagai Menteri Sumber Manusia
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh anggota Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang telah banyak membantu saya dan sentiasa berusaha membantu saya dalam menerajui KSM.
“Anggota KSM rata-ratanya sentiasa prihatin dan proaktif dalam penambahbaikan senario Sumber Manusia dalam negara,” tulis V. Sivakumar.
Selain itu, beliau juga sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memastikan Sumber Manusia di Malaysia lebih cemerlang.
Sivakumar juga turut sempat mengucapkan terima kasih kepada Anwar Ibrahim serta kepimpinan parti yang sudah memberikan kepercayaan kepadanya.
“Terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta kepimpinan parti atas peluang yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat di Kementerian Sumber Manusia selama setahun ini.
“Semoga Kerajaan Madani dapat terus mengekalkan tadbir urus negara yang baik buat seluruh rakyat Malaysia,” tulisnya lagi.
Sempat memohon maaf atas kesalahan sepanjang berkhidmat
Sementara itu, beliau juga sempat memohon maaf seandainya pernah melakukan kesalahan sepanjang tempoh setahun menjawat jawatan tersebut.
“Permohonan maaf keatas semua agensi, pegawai atau mana mana pihak yang pernah berurusan dengan saya didalam KSM jika ada terdapat kesalahan dari pihak saya sepanjang menjadi Menteri,” tambahnya lagi.
Sivakumar juga turut mengucapkan tahniah kepada penggantinya diatas pelantikan jawatan sebagai Menteri di KSM yang baharu.
Beliau juga menjelaskan bahawa penglibatannya dalam politik tidak akan berakhir, sebaliknya akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Batu Gajah.
BACA: Lima Menteri, Lima Timbalan Menteri Baharu Dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan
Sumber: X/V.Sivakumar