Siakap Keli
Menteri Baharu Kerajaan Perpaduan
Gambar: Bernama

Lima Menteri, Lima Timbalan Menteri Baharu Dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

Lima Menteri, Lima Timbalan Menteri Baharu Dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pada sidang media di sini, Perdana Menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Manakala, Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

Menteri baharu yang dilantik ialah Ahli Parlimen Titiwangsa dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi), Ahli Parlimen Damansara dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo (Menteri Digital) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Menteri Kewangan II) yang dilantik senator.

BACA JUGA: Dr. Dzulkefly Ahmad Buat “Comeback”, Menteri Kesihatan Baharu

Sementara itu, Steven Sim Chee Keong yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan dilantik Menteri Sumber Manusia.

Timbalan Menteri baharu pula ialah Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), M. Kulasegaran (Jabatan Perdana Menteri – Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Ramanan Ramakrishnan (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Wong Kah Woh (Pendidikan) dan Dr Zulkifli Hasan (Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama) yang juga dilantik senator.

Rombakan itu turut menyaksikan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar selain dua timbalan menteri Ramkarpal Singh (Jabatan Perdana Menteri – Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Datuk Siti Aminah Aching (Perladangan dan Komoditi) digugurkan.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?