Dr. Dzulkefly Ahmad Buat “Comeback”, Menteri Kesihatan Baharu
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad membuat kepulangan semula dan menjawat kembali jawatan tersebut dalam Kabinet baharu.
Berita berkenaan dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Media Pengumuman Rombakan Kabinet sebentar tadi.
Beliau turut mengumumkan bahawa Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Saunidi dikekalkan.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan sebelum ini Dr. Zaliha Mustafa telah bertukar portfolio kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Sebelum ini, kementerian berkenaan dibubarkan bagi mewujudkan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Selain Dzulkefly, terdapat beberapa muka baharu dan pertukaran portfolio antara ahli kabinet yang sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula dilantik mengisi jawatan Menteri Kewangan II.
YB Lim Hui Ying juga dilantik menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan.
Manakala dua Timbalan Menteri Kewangan sebelum ini berpindah portfolio ke kementerian lain.
Menurut PMX, Datuk Seri Ahmad Maslan kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya. Manakala Steven Sim Chee Keong naik pangkat menjadi Menteri Sumber Manusia.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga dibawa masuk dalam Kabinet baharu dan dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Kementerian Komunikasi & Digital turut dipecahkan dengan Fahmi Fadzil menjadi Menteri Komunikasi.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh pula dilantik sebagai Menteri Digital.
Dalam pada itu, Datuk Armizan Mohd Ali dilantik mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Beberapa nama lain turut bertukar portfolio antara satu sama lain melibatkan Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpindah ke Kementerian Luar selaku Menteri.
Manakala jawatan Menteri Pertahanan diisi oleh Datuk Khaled Nordin. Menteri Luar terdahulu, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.
Secara keseluruhan, saiz Kabinet baharu bertambah daripada 55 orang kepada 60 orang.
Menurut Jabatan Perdana Menteri, jumlah ini masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah ahli kabinet daripada kepimpinan terdahulu iaitu 70 orang.
BACA: ‘Gerenti’ Jadi, Cara Buat Tempe Sendiri Di Rumah, Hanya Guna 3 Bahan
Sumber: Siaran Langsung Astro Awani