Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Timbalan Menteri Indonesia Cadang Libatkan Bukan Islam Sebagai Petugas Haji

bukan islam haji
Kredit: Antara

Masyarakat bukan Islam di Indonesia dicadangkan turut diberi peluang untuk berkhidmat sebagai petugas haji bagi membantu menyediakan perkhidmatan kepada jemaah dari negara itu.

Cadangan berkenaan disuarakan Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak yang mahu membuka ruang kepada masyarakat pelbagai agama untuk turut menyumbang dalam pengurusan perkhidmatan haji, lapor Antara.

Menurut Simanjuntak, penglibatan itu boleh melibatkan penganut Kristian, Katolik, Buddha, Hindu serta komuniti agama lain sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh toleransi dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Bukan Islam Dicadang Jadi Petugas Haji Indonesia

Memetik kenyataannya di Jakarta pada Jumaat, Simanjuntak berkata, perkhidmatan kepada jemaah haji boleh menjadi simbol toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang agama.

“Fokus kami adalah untuk memastikan jemaah haji menjadi simbol toleransi bagi komuniti agama. Pada masa hadapan, petugas haji boleh melibatkan saudara-saudari kami daripada Kristian, Katolik, Buddha, Hindu dan komuniti lain,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Indonesia mempunyai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kepelbagaian itu merupakan kekuatan negara yang perlu diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Menurutnya, khidmat kepada jemaah bukan hanya boleh disokong oleh umat Islam, sebaliknya masyarakat lain juga boleh memainkan peranan atas dasar kemanusiaan dan semangat persaudaraan.

Sulawesi Utara Jadi Contoh Penglibatan Masyarakat Pelbagai Agama

Dalam pada itu, beliau menjadikan Sulawesi Utara sebagai contoh wilayah yang mempunyai masyarakat berbilang agama dan berpotensi melaksanakan inisiatif berkenaan.

Beliau turut meminta pegawai berkaitan supaya menggalakkan penglibatan komuniti Kristian, Katolik, Buddha dan Hindu dalam menyokong penyediaan perkhidmatan haji di wilayah itu.

“Ini merupakan usaha untuk mempersembahkan simbol toleransi, bukan sahaja di Sulawesi Utara, tetapi di seluruh Indonesia,” katanya.

Tambah beliau, meskipun ibadah haji merupakan tuntutan agama khusus untuk umat Islam, usaha memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada jemaah merupakan nilai kemanusiaan yang boleh melibatkan semua pihak.

Penglibatan masyarakat pelbagai agama itu diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara komuniti serta menunjukkan bahawa perbezaan kepercayaan bukan penghalang untuk rakyat Indonesia bekerjasama dan menyumbang kepada kepentingan negara.

Intipati
  • Dahnil Anzar Simanjuntak mencadangkan bukan Islam diberi peluang menjadi petugas haji Indonesia.
  • Beliau berkata penglibatan pelbagai agama boleh menjadi simbol toleransi dan kerjasama masyarakat.
  • Sulawesi Utara disebut sebagai contoh wilayah berpotensi melaksanakan inisiatif berkenaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan