Puluhan orangutan yang terancam kepupusan berjaya diselamatkan daripada kebakaran hutan yang melanda Indonesia sejak beberapa minggu lalu, ketika jerebu toksik terus menjejaskan kualiti udara di rantau Asia Tenggara, lapor AFP.
Menurut sebuah agensi pemuliharaan orangutan, kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan hutan di Indonesia itu turut mengancam hidupan liar selain menyebabkan pencemaran udara berpanjangan.
Kata agensi itu, Singapura kini mengalami tempoh kualiti udara tidak sihat paling lama sejak krisis jerebu terburuk di Asia Tenggara pada 2015.
“Kebakaran berkenaan menyebabkan sekolah ditutup, meningkatkan masalah pernafasan dalam kalangan manusia dan haiwan serta mengehadkan aktiviti luar di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Timor-Leste,” ujar agensi itu lagi.
Manakala, pada Ahad, tahap pencemaran udara di beberapa kawasan rantau ini berada pada paras tidak sihat hingga sangat tidak sihat susulan kebakaran yang terus merebak di pulau Borneo dan Sumatera. Keadaan itu turut diburukkan oleh fenomena cuaca El Niño yang kuat.
Badan pemantau kualiti udara berpangkalan di Switzerland, IQAir, sekali lagi menyenaraikan Singapura dan Kuala Lumpur antara lima bandar utama paling tercemar di dunia pada petang Ahad.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura, Jason Evans Tan, berkata negara itu mengalami tempoh kualiti udara tidak sihat paling lama sejak 2015, dengan keadaan tersebut bermula pada 5 Oktober.
Puluhan ekor orangutan berjaya diselamatkan sejak kebakaran hutan melanda Indonesia
Di Indonesia, pelbagai organisasi pemuliharaan giat menyelamatkan hidupan liar yang terancam akibat kebakaran hutan.
Pada Ahad, agensi pemuliharaan Kalimantan Barat bersama pertubuhan bukan kerajaan Indonesia, YIARI, memaklumkan bahawa sebanyak 51 orangutan dipindahkan dari beberapa lokasi di wilayah berkenaan antara 6 Ogos hingga 19 Oktober.
Pada Sabtu, tiga agensi pemuliharaan bekerjasama menyelamatkan seekor orangutan jantan berusia 20 tahun di Kampung Hampangen, Kalimantan Tengah, di pulau Borneo.
Menurut agensi berkenaan, proses pemindahan dilakukan dengan teliti. Selepas diberikan ubat penenang, orangutan itu menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pasukan perubatan sebelum dibawa ke pusat pemulihan.
Penyelaras pemuliharaan WWF Indonesia, Fenky Wirada, berkata pemeriksaan turut dijalankan bagi mengenal pasti orangutan lain yang masih berada di kawasan hutan kecil yang terjejas.
Ribuan penerbangan di Indonesia terjejas
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan kira-kira 2,400 penerbangan di seluruh negara terjejas akibat jerebu sejak pertengahan Ogos.
Menurut kementerian itu, jarak penglihatan yang terhad di sekitar lapangan terbang boleh menyebabkan kelewatan, gangguan operasi dan pembatalan penerbangan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, pada Ahad berkata Malaysia telah mencadangkan penubuhan mekanisme kerjasama serantau melibatkan 11 negara anggota ASEAN bagi menyelaraskan tindakan menangani kebakaran rentas sempadan.
“Cabaran rentas sempadan itu perlu ditangani dengan tekad dan rasa tanggungjawab bersama, berlandaskan semangat perpaduan serta hubungan baik antara negara jiran,” menerusi Facebook beliau.
Fenomena El Niño memburukkan keadaan
Di Singapura, kepekatan PM2.5, iaitu zarah halus yang mencemarkan udara, kekal tinggi di kawasan barat negara itu pada Ahad. Indeks Piawaian Bahan Pencemar (PSI) bagi tempoh 24 jam turut mencatatkan bacaan yang kadangkala mencapai tahap sangat tidak sihat.
PM2.5 merupakan antara bahan pencemar utama ketika jerebu, namun ia berbeza daripada PSI, iaitu indeks keseluruhan yang dikira berdasarkan enam penunjuk pencemaran udara.
Pakar sains atmosfera yang berpangkalan di Singapura, Wang Jingyu, berkata rantau ini sedang dipengaruhi fenomena El Niño yang sangat kuat.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan suhu permukaan laut menjadi lebih sejuk daripada biasa, sekali gus mengurangkan penyejatan air dan pembentukan hujan.
“Apabila suhu permukaan laut lebih sejuk, kadar penyejatan dari lautan tidak mencukupi,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kekurangan hujan menyebabkan kebakaran sukar dipadamkan, sekali gus memanjangkan tempoh jerebu.
“Keadaan kering itu turut diburukkan oleh kehadiran beberapa sistem taufan di bahagian lain Asia Timur.
“Sistem taufan berkenaan menarik kelembapan dari kawasan sekitarnya, seolah-olah span yang menyerap air, lalu mengalihkan kelembapan jauh daripada kawasan yang dilanda kebakaran,” katanya.

