Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rahsia Ruang Kosong Sebelum '0' Pada Pembaris Yang Ramai Tak Tahu

ruang kosong
Kredit: Twitter (X)

Sejak zaman sekolah lagi, pembaris menjadi antara peralatan yang sering kita gunakan, terutamanya ketika belajar subjek Matematik, melukis atau membuat ukuran.

Malah, bukan hanya pelajar sekolah, golongan dewasa juga menggunakan pembaris dalam pelbagai urusan harian, sama ada di pejabat, rumah mahupun tempat kerja.

Tapi, pernah tak korang perasan ada sesuatu yang menarik pada reka bentuk pembaris?

Kalau diperhatikan betul-betul, sesetengah pembaris mempunyai sedikit ruang kosong di bahagian hujung sebelum bermulanya angka '0'.

Persoalannya, kenapa pengeluar tidak meletakkan sahaja tanda '0' betul-betul pada hujung pembaris? Bukankah lebih mudah untuk kita membuat ukuran?

Rupa-rupanya, ruang kosong yang nampak seperti tidak mempunyai fungsi itu sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan yang mungkin ramai tidak tahu.

Kenapa Ada Ruang Kosong Sebelum Angka '0'?

Kredit: TOI/Gemini

1. Elakkan Kesilapan Ukuran Jika Hujung Pembaris Rosak

Antara sebab ruang kosong itu diwujudkan adalah untuk mengurangkan risiko kesilapan ukuran akibat kerosakan pada hujung pembaris.

Untuk pengetahuan korang, bahagian hujung pembaris merupakan antara kawasan yang mudah mengalami kerosakan kerana sering terdedah kepada hentakan, geseran atau terjatuh.

Bayangkan kalau angka '0' terletak betul-betul di bahagian hujung pembaris. Sekiranya bahagian tersebut sumbing atau haus, ukuran yang dibuat menggunakan hujung itu sebagai titik permulaan boleh menjadi tidak tepat.

Contohnya, jika hujung pembaris mengalami kerosakan sehingga kehilangan 0.5 milimeter (mm) daripada panjang asalnya, bacaan ukuran yang bermula dari hujung tersebut boleh tersasar sebanyak 0.5 mm.

Walaupun nampak kecil, perbezaan itu boleh memberi kesan terutama bagi kerja yang memerlukan ukuran tepat.

Sebab itulah, meletakkan tanda '0' sedikit ke dalam dapat membantu melindungi titik permulaan ukuran daripada kerosakan pada bahagian hujung.

2. Memudahkan Proses Pembuatan Pembaris

Selain melindungi tanda ukuran, ruang kosong tersebut juga mempunyai kelebihan dalam proses pembuatan pembaris.

Kebiasaannya, pembaris dihasilkan secara besar-besaran melalui beberapa proses termasuk pemotongan bahan dan pencetakan skala ukuran.

Dalam proses ini, memastikan garisan '0' dicetak tepat pada bahagian hujung pembaris boleh menjadi satu cabaran, lebih-lebih lagi apabila pengeluaran dilakukan dalam kuantiti yang banyak.

Jadi, dengan menyediakan sedikit ruang kosong, pengeluar mempunyai toleransi tambahan dalam proses pemotongan tanpa menjejaskan kedudukan tanda permulaan ukuran.

Secara tidak langsung, reka bentuk ini dapat membantu memastikan skala ukuran dihasilkan dengan lebih konsisten.

3. Bantu Pelajar Faham Cara Mengukur Dengan Betul

Kredit: TOI/Gemini

Menariknya, ruang kosong sebelum angka '0' juga boleh membantu pelajar memahami teknik pengukuran yang betul.

Ini kerana, sesetengah pelajar yang baru belajar menggunakan pembaris mungkin menganggap ukuran perlu dimulakan dari bahagian hujungnya.

Sedangkan, bagi pembaris yang mempunyai ruang kosong, ukuran sebenar perlu bermula pada garisan '0'.

Dengan adanya tanda sifar yang jelas, pelajar dapat mengenal pasti titik permulaan ukuran dengan lebih mudah.

Kaedah ini sekali gus membantu mereka memahami bahawa sesuatu ukuran perlu berdasarkan tanda rujukan yang ditetapkan, bukannya semata-mata pada hujung alat pengukur.

4. Prinsip Sama Turut Digunakan Pada Alat Pengukur Lain

Sebenarnya, konsep melindungi titik rujukan ukuran bukan hanya berkaitan dengan pembaris sekolah.

Prinsip ketepatan titik rujukan turut diberi perhatian dalam reka bentuk pelbagai alat pengukur lain, termasuk angkup vernier dan pita pengukur.

Sebagai contoh, angkup vernier menggunakan rahang pengukur yang direka untuk mendapatkan ukuran dengan tepat.

Sementara itu, pita pengukur pula mempunyai cangkuk logam di bahagian hujung yang boleh bergerak sedikit.

Pergerakan kecil ini bukan bermaksud pita pengukur tersebut rosak, sebaliknya membantu mengimbangi ketebalan cangkuk ketika membuat ukuran dari bahagian dalam atau luar sesuatu objek.

Walaupun mekanismenya berbeza, kedua-duanya menunjukkan betapa pentingnya reka bentuk titik rujukan dalam memastikan ketepatan pengukuran.

Jadi, Betul Ke Ruang Kosong Itu Boleh Menyebabkan Ukuran Salah?

Jawapannya, tidak semestinya.

Ruang kosong sebelum angka '0' tidak akan menyebabkan kesilapan sekiranya korang menggunakan pembaris dengan cara yang betul.

Sebaliknya, kesilapan boleh berlaku apabila ukuran dimulakan dari hujung fizikal pembaris dan bukannya pada tanda '0' yang disediakan.

Contohnya, jika mahu mengukur panjang sebuah buku, pastikan bahagian tepi buku diletakkan sejajar dengan garisan '0' sebelum melihat bacaan pada hujung yang satu lagi.

Bagaimanapun, tidak semua pembaris direka dengan ruang kosong yang sama. Ada juga alat pengukur yang memang direka untuk memulakan ukuran terus dari bahagian hujungnya.

Intipati
  • Ruang kosong sebelum angka ‘0’ membantu melindungi titik permulaan ukuran daripada kerosakan hujung pembaris.
  • Reka bentuk itu juga memberi toleransi tambahan semasa proses pemotongan dan pencetakan skala.
  • Kesilapan ukuran berlaku jika pengguna memulakan bacaan dari hujung fizikal, bukan garisan ‘0’.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan