Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

'Rahsia' 5 Warna Tayar F1 Yang Ramai Tak Tahu

Warna Tayar F1
kredit: Fueler store

Ketika menonton perlumbaan Formula 1 (F1), pernah tak anda perasan warna pada bahagian sisi tayar berbeza antara satu jentera dengan yang lain? Ada putih, kuning, merah, malah hijau dan biru pun ada.

Bagi penonton baharu, perbezaan ini mungkin nampak kecil. Namun, warna tersebut sebenarnya boleh memberi petunjuk tentang pilihan tayar dan strategi sesebuah pasukan.

Jadi, jom bongkar rahsia disebalik warna tayar F1 ini di bawah.

Maksud Warna Tayar F1

Putih

Tayar bertanda putih dikenali sebagai hard, iaitu pilihan paling keras antara tiga jenis tayar kering yang dibawa untuk sesuatu perlumbaan.

Secara umum, tayar ini lebih tahan lama, sekali gus sesuai digunakan untuk lebih banyak pusingan sebelum ditukar. Bagaimanapun, cengkamannya lazimnya lebih rendah berbanding tayar yang lebih lembut.

Kuning

Tayar medium pula ditandakan dengan warna kuning. Ia menawarkan keseimbangan antara cengkaman dan ketahanan.

Pilihan ini sesuai apabila pasukan mahukan prestasi yang baik sambil memastikan tayar mampu bertahan lebih lama berbanding soft.

Merah

Warna merah menandakan tayar soft, iaitu pilihan paling lembut bagi hujung minggu perlumbaan tersebut.

Secara teori, ia menawarkan cengkaman paling tinggi, menjadikannya pilihan popular ketika sesi kelayakan untuk mencatat masa terpantas. Namun, prestasinya juga lebih cepat merosot berbanding pilihan lebih keras.

Hijau

Apabila litar mula basah, tayar bertanda hijau atau intermediate menjadi antara pilihan pasukan.

Berbeza dengan tayar kering yang permukaannya licin, tayar ini mempunyai alur untuk menyalurkan air. Ia sesuai digunakan ketika hujan ringan atau apabila litar masih basah tetapi tidak mempunyai terlalu banyak air bertakung.

Biru

Tayar full wet yang bertanda biru pula direka untuk keadaan hujan lebih lebat dan air yang lebih banyak di atas litar.

Alurnya membantu menyingkirkan air bagi mengurangkan risiko aquaplaning, iaitu keadaan apabila lapisan air menyebabkan tayar kehilangan sentuhan dengan permukaan litar.

Warna sama, kod tayar boleh berbeza

Satu lagi fakta menarik, warna putih tidak semestinya bermaksud C2 pada setiap perlumbaan. Begitu juga kuning dan merah yang tidak sentiasa merujuk kepada C3 dan C4.

Pirelli memilih tiga kompaun tayar kering mengikut keperluan litar. Daripada pilihan itu, yang paling keras ditandakan putih, pilihan pertengahan kuning dan paling lembut merah. Jadi, padanan C2, C3 dan C4 dalam infografik ialah satu contoh kombinasi.

Sumber:F1,Pirelli
Intipati
  • Tayar putih, kuning dan merah masing-masing menandakan pilihan hard, medium dan soft.
  • Tayar hijau digunakan untuk litar basah ringan, manakala biru bagi hujan lebat.
  • Kod kompaun tayar kering boleh berubah mengikut pilihan Pirelli untuk setiap perlumbaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan