Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenapa Tayar Berwarna Hitam Sedangkan Getah Asalnya Putih Susu? Rupanya Ini 'Punca' Yang Ramai Tak Tahu

Kenapa Tayar Berwarna Hitam
Gambar Hiasan

Bila hendak memulakan perjalanan jauh, tayar kereta mesti menjadi antara perkara utama yang diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.

Namun, pernah tak anda luangkan sedikit masa untuk memerhatikan kereta lain yang berada di sekeliling?

Walaupun setiap kereta mempunyai jenama, model dan warna badan berbeza, kebanyakannya berkongsi satu persamaan yang mungkin jarang kita persoalkan, iaitu tayar berwarna hitam.

Kenapa Tayar Berwarna Hitam

Pernah terfikir kenapa tayar hampir semuanya berwarna hitam sedangkan bahan semula jadi yang digunakan untuk menghasilkannya berasal daripada susu getah berwarna putih susu?

Rupanya, warna hitam itu bukan disebabkan getah terbakar ketika proses pembuatan, sebaliknya pengeluar mencampurkan satu bahan khas untuk menjadikan tayar lebih kuat dan tahan lama.

Bahan tersebut dikenali sebagai karbon hitam atau carbon black, yang sehingga kini masih menjadi antara komponen penting dalam pembuatan tayar moden.

Tayar Zaman Dahulu Sebenarnya Berwarna Cerah

Sebelum penggunaan karbon hitam semakin meluas dalam industri pembuatan tayar, kebanyakan tayar awal mempunyai warna putih atau kelabu cerah.

Hal ini kerana getah asli yang diperoleh daripada susu getah mempunyai warna putih susu sebelum diproses menjadi bahan untuk menghasilkan pelbagai barangan.

Menurut pengeluar tayar Goodyear, tayar getah pada peringkat awal juga berwarna putih sebelum pengeluar mula menggunakan bahan tambahan untuk meningkatkan prestasinya.

Pada masa itu, zink oksida antara bahan yang digunakan untuk menguatkan campuran getah dan pada masa sama memberikan warna putih kepada tayar.

Bagaimanapun, pengeluar masih berdepan cabaran untuk menghasilkan tayar yang mampu menahan geseran berulang kali apabila kenderaan bergerak di atas jalan raya.

Keadaan ini mendorong mereka mencuba pelbagai bahan tambahan bagi meningkatkan ketahanan getah, sekali gus memanjangkan jangka hayat tayar.

Karbon Hitam Mengubah Warna Dan Ketahanan Tayar

Sekitar awal abad ke-20, pengeluar mula menyedari bahawa penambahan karbon hitam dalam campuran getah boleh menghasilkan tayar yang jauh lebih tahan lasak.

Menurut kajian sejarah industri tayar oleh Pau Medrano-Bigas dari Universiti Barcelona, penggunaan karbon hitam dalam getah telah dikesan seawal 1904 menerusi sebuah syarikat British bernama India Rubber Company.

Pada mulanya, bahan tersebut digunakan sebagai pewarna, sebelum ahli kimia Sydney Charles Mote mendapati campuran berkenaan turut meningkatkan ketahanan getah terhadap geseran.

Penemuan itu menjadi titik penting dalam perkembangan industri tayar kerana karbon hitam membantu menghasilkan getah yang lebih tahan berbanding campuran sebelumnya.

Syarikat B.F. Goodrich di Amerika Syarikat turut memainkan peranan dalam perkembangan teknologi tersebut apabila memperkenalkan tayar Silvertown pada 1912 menggunakan teknologi daripada Palmer.

Sejak itu, penggunaan karbon hitam semakin berkembang sehingga menjadi antara bahan utama dalam penghasilan tayar yang digunakan pada hari ini.

Bukan Sekadar Menjadikan Tayar Berwarna Hitam

Mungkin ada yang menyangka karbon hitam hanya dicampurkan untuk memberikan warna gelap kepada tayar, tetapi sebenarnya bahan tersebut mempunyai fungsi yang jauh lebih penting.

Menurut pengeluar tayar Continental, karbon hitam bertindak sebagai bahan penguat yang membantu meningkatkan kekerasan, kekuatan dan ketahanan getah terhadap geseran.

Hal ini sangat penting kerana tayar sentiasa bergesel dengan permukaan jalan, sekali gus menyebabkan bahagian luarnya mengalami kehausan sepanjang digunakan.

Selain itu, karbon hitam turut membantu melindungi getah daripada kerosakan akibat sinaran ultraungu (UV) yang boleh menyebabkan permukaannya merekah.

Bahan tersebut juga membantu mengalirkan haba daripada bahagian tertentu pada tayar, sekali gus menyokong ketahanannya ketika digunakan.

Menurut Michelin, penambahan karbon hitam boleh meningkatkan ketahanan getah terhadap kehausan sehingga kira-kira 10 kali ganda berbanding campuran tanpa bahan penguat tersebut.

Menariknya, teknologi pembuatan tayar terus berkembang dan pengeluar kini turut menggunakan silika sebagai bahan tambahan untuk meningkatkan beberapa ciri prestasi tayar.

Walaupun begitu, karbon hitam masih memainkan peranan penting dalam memastikan tayar mempunyai ketahanan yang diperlukan untuk menghadapi pelbagai keadaan jalan raya.

Intipati
  • Tayar awal berwarna putih atau kelabu kerana getah asli berasal daripada susu getah.
  • Karbon hitam ditambah dalam getah untuk meningkatkan kekuatan dan ketahanan tayar.
  • Bahan itu melindungi tayar daripada geseran, sinaran UV dan membantu mengalirkan haba.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan