Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa terdapat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang menyediakan kemudahan ruang solat untuk penumpang beragama Islam.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @itsahmednassry, yang memaklumkan penumpang boleh memberitahu kru kabin sekiranya ingin menunaikan solat sepanjang penerbangan.
Menurutnya, kru kabin akan membantu menyediakan ruang untuk solat termasuk sejadah dan penunjuk arah kiblat.

“Ramai tidak tahu, kalau kita menaiki MAS dan memberitahu kru kabin bahawa kita mahu solat, mereka akan menyediakan tempat solat, lengkap dengan sejadah dan penunjuk arah kiblat,” kongsi pengguna berkenaan.
Jelasnya lagi, setakat pengalamannya, kemudahan itu terdapat pada penerbangan jarak jauh yang menggunakan pesawat berbadan lebar.
Beliau turut berkongsi bahawa pengalaman tersebut dilaluinya ketika menaiki penerbangan MH21 dari Paris ke Kuala Lumpur.
Tambahnya, ruang berkenaan terletak di bahagian belakang pesawat dan penumpang tidak perlu menaiki kelas perniagaan untuk menggunakannya.
Meninjau ruangan komen, perkongsian itu turut mendapat perhatian pengguna lain yang berkongsi pengalaman menggunakan kemudahan sama dalam penerbangan syarikat penerbangan berbeza.
“Saudia lebih luas,” kata @azieymajujaya.
“Saudia boleh memuatkan tiga orang sekali gus. Saya pernah menggunakannya ketika waktu Subuh bersama suami,” kongsi @sitinurfatin_ahmadkamal.
“Sudah lama tahu, tetapi saya rasa kemudahan itu bergantung kepada syarikat penerbangan. Kalau pesawat berbadan sempit, mungkin tiada ruang berkenaan. Biasanya hanya pesawat berbadan lebar yang menyediakannya,” kata @miszshud.

