Rempuh Motosikal Empat Beranak: Pemandu Ford Ranger Ditangkap
Seorang pemandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger ditangkap kerana merempuh sebuah motosikal dinaiki empat beranak hingga menyebabkan kecederaan di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi Ke Balakong pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata kedua-dua pihak telah membuat laporan dan tangkapan telah dibuat terhadap pemandu tersebut.
“Kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 (memandu secara melulu atau membahayakan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pejabat JSPT, Kuala Lumpur atau di talian 03-20719999 bagi membantu siasatan.
Media turut melaporkan kejadian tersebut melibatkan sepasang suami isteri dan dua orang anak yang menunggang serta membonceng motosikal.
Difahamkan, pasangan tersebut hanya mengalami cedera ringan namun salah seorang kanak-kanak itu mengalami cedera parah di mana ia menerima jahitan di kepala.
Manakala, seorang lagi perlu menjalani ujian imbasan.
BACA: Polis Akan Ambil Keterangan Pelajar Dakwa Dibuli Dalam Masa Terdekat
Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang berada di belakang motosikal mangsa di mana ia menunjukkan kecuaian pemandu Ford Ranger terbabit.
Dalam rakaman tersebut, pemandu yang pada mulanya berada di laluan kanan menukar haluan untuk memasuki laluan susur keluar di sebelah kiri lebuh raya.
Bagaimanapun, tindakan tersebut membawa padah selepas ia merempuh motosikal yang berada di laluan kiri mengakibatkan mereka terjatuh di tengah jalan raya kerana hilang kawalan.
KENYATAAN MEDIA KETUA JABATAN SIASATAN DAN PENGUATKUASAAN TRAFIK KUALA LUMPUR
Kes Tular Video Kemalangan Di Lebuhraya Besraya Dari Arah Sungai Besi Ke Balakong pic.twitter.com/LuePpPP3QP
— PDRMsia Trafik (@PDRMsia_Trafik) December 12, 2023
Sumber: @PDRMsia_Trafik/X