Saintis Dipenjara 10 Bulan Kerana Tuduhan Sistem A.I.
Seorang saintis di Rusia, Alexander Tsvetkov telah dibawa keluar dari sebuah kapal terbang ketika dalam satu penerbangan menuju ke Krasnoyarks atas urusan kerja pada bulan Februari yang lalu.
Dia yang merupakan seorang saintis di Akademi Sains Institut Biologi Air Dalaman, telah diberitahu bahawa dirinya ditahan atas tuduhan membunuh.
Menurut pihak penyiasatan, dia didakwa telah membunuh beberapa mangsa di Moscow dan beberapa wilayah lain bersama dengan rakan subahatnya.
Tuduhan itu disabitkan kepadanya atas sebab sebuah sistem kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI), yang telah mendapati bahawa wajahnya mempunyai 55 peratus persamaan dengan lakaran suspek jenayah yang dilakar oleh saksi pada dua dekad yang lalu.
Alexander Tsvetkov dituduh atas kes yang berlaku pada 2 Ogos 2002. Mangsa pertama merupakan seorang lelaki yang dikatakan berada dalam keadaan mabuk bersama suspek dan dibunuh setelah berlakunya pergaduhan.
Kemudian pada malam yang sama, mereka telah merompak seorang wanita berumur 64 tahun. Mereka juga dituduh membunuh seorang wanita dan ibunya yang berumur 90 tahun atas alasan mahu menyewa apartmen.
Lelaki yang didakwa sebagai rakan subahatnya itu telah memberikan keterangan dan mengakui atas kes pembunuhan itu. Dia telah mengenal pasti saintis itu, tetapi keterangan yang diberikan olehnya mempunyai kesalahan.
Lelaki itu juga mendakwa bahawa Alexander merupakan seorang gelandangan bersamanya di Moscow dan dia sering minum minuman keras serta menghisap rokok.
Namun, Alexander tidak pernah menjadi seorang gelandangan, minum minuman keras dan menghisap rokok kerana mempunyai masalah paru-paru.
Selain itu, lelaki itu turut mendakwa Alexander mempunyai tatu cincin di jari-jarinya dan tatu bercorak Celtic di tangan kirinya. Tetapi, menurut ahli keluarga Alexander, dia tidak pernah mempunyai sebarang tatu.
Keterangan Rakan Saintis
Rakan-rakan saintis Alexander telah memberikan keterangan mereka bahawa dia berada bersama mereka dan jauh dari lokasi kejadian itu berlaku. Namun, pihak berkuasa langsung tidak mempertimbangan keterangan mereka itu.
Pakar hidrologi itu didakwa telah dipaksa untuk menulis sebuah pengakuan yang dia kemudiannya menarik balik dan ditahan di dalam penjara selama 10 bulan. Pada ketika itu, ahli keluarganya mencuba untuk mengeluarkannya dari penjara itu.
Menurut beberapa sumber berita, walaupun terdapat banyak bukti yang boleh membebaskan Alexander Tsvetkov daripada kes pembunuhan ini, namun pihak berkuasa Rusia lebih mempercayai sistem AI yang mendapati bahawa Alexander mempunyai persamaan 55 peratus dengan lakaran suspek dikehendaki itu.
Kes Alexander Tsvetkov ini telah menjadi tajuk utama berita di Rusia selama beberapa bulan. Ia juga telah memulakan sebuah kempen untuk membebaskannya dari penjara.
Malah difahamkan terdapat juga khabar angin mendakwa wujud campur tangan daripada Presiden Rusia, Vladmir Putin dan ia telah membebaskan Alexander dari penjara itu. Tetapi, tuduhan ke atasnya masih belum digugurkan.
Vladmir Putin didakwa memberikan komen bahawa, “Artifical Intelligence merupakan topik yang rumit, dan sekiranya terdapat sebarang kegagalan dalam bidang ini, ia harus dianalisis dan perlu membuat kesimpulan yang sesuai untuknya,”
Sumber: Oddity Central
BACA JUGA: Smart Hydrobike Di Melaka, Ciptaan Pelajar Dan Pensyarah UTeM