Syarikat Singapura Tawar Pekerjaan Sebagai Pemandu Bas Dengan Gaji RM17,000
Sebuah syarikat di Singapura dilapor menawarkan jawatan kosong sebagai pemandu bas dengan gaji permulaan S$5,000 (RM17,500) sebulan.
Menurut Mothership, selain gaji bulanan yang lumayan, syarikat itu juga akan menawarkan bonus penyertaan sebanyak S$10,000 (RM35,000).
Bonus berkenaan akan diberikan selepas mereka menandatangani kontrak selama tiga tahun.
Westpoint Transit Pte berkata, mereka mengambil pendekatan menawarkan gaji yang tinggi kerana mahu menggalakkan penyertaan tenaga muda dalam industri tersebut.
Syarikat berkenaan meletakkan sasaran untuk merekrut seramai 30 orang pemandu bas baharu menjelang akhir tahun 2024.
Pengambilan akan dibuat melalui dua fasa dengan fasa pertama seramai 10 orang. Manakala pengambilan fasa kedua pula melibatkan 20 orang pemandu.
Dalam pada itu, berdasarkan keterangan iklan jawatan berkenaan di LinkedIn, tiada syarat kewarganegaraan diletakkan oleh syarikat tersebut.
Ini bermakna, warga asing selain warganegara Singapura juga mungkin boleh memohon jawatan itu.
Bagaimanapun, pemohon perlu memiliki sekurang-kurangnya satu tahun pengalaman yang berkaitan dengan jawatan dipohon.
Pemohon-pemohon juga perlu memiliki lesen memandu Kelas 4 yang sah dan lesen vokasional.
Menurut undang-undang Singapura, lesen Kelas 4 diperlukan untuk memandu kenderaan bermotor berat dan traktor melebihi 2,500kg.
Berkenaan jadual kerja pula, mereka perlu bertugas selama enam hari atau maksimum 44 jam seminggu.
Selain itu, mereka yang terpilih juga akan diberikan cuti tahunan selama tujuh hari.

Pemandu juga akan menikmati faedah-faedah lain yang disediakan oleh syarikat seperti insurans kumpulan dan minuman percuma.
Syarikat itu turut menawarkan kelas senaman secara percuma untuk membantu fizikal pemandu berada dalam keadaan sempurna.
Sebelum memulakan tugas, pemandu-pemandu akan dihantar menjalani latihan seperti latihan penggunaan teknologi terkini pada bas.
Permohonan difahamkan akan ditutup pada 15 Januari 2024.
BACA: Bapa Bunuh 4 Anak, Pakai Darah Tinggal Nota Pada Dinding
Westpoint Transit Pte ditubuhkan pada 1984 dan beroperasi dari ibu pejabat yang terletak di Tuas.
Syarikat itu menawarkan perkhidmatan pengangkutan dengan kawasan utama operasi di sebelah barat Singapura.
Kira-kira 95 peratus perkhidmatan yang ditawarkan adalah membawa pekerja ke kawasan-kawasan yang tidak boleh diakses orang awam seperti di Pulau Jurong dan Tuas Selatan.
Sumber: Mothership, LinkedIn