Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bapa Bunuh 4 Anak, Pakai Darah Tinggal Nota Pada Dinding

Syed Faisal Sayed Muhammad
bapa bunuh 4 anak sendiri
Kredit Tribunnews

Bapa Bunuh 4 Anak, Pakai Darah Tinggal Nota Pada Dinding

Seorang bapa ditahan selepas membunuh empat anak kandungnya di sebuah rumah sewa di Jagakarsa, Jakarta Selatan, Indonesia lapor Tribun News.

Suspek, 40 tahun, juga sempat meninggalkan nota pada dinding yang berbunyi ‘puas Bunda, Tx for all‘ selepas melakukan jenayah kejam tersebut, Rabu lepas.

Nota berkenaan dilapor ditulis menggunakan darahnya sendiri.

Menurut Tribun News, keempat-empat anaknya masing-masing berusia enam, empat, tiga tahun dan seorang bayi berusia kurang dari setahun.

Suspek dipercayai membunuh dengan cara menekup bantal pada muka semua mangsa.

Mayat kesemua mangsa ditemui oleh penduduk setempat di dalam bilik tidur rumah sewa berkenaan.

Manakala suspek pula dijumpai dalam keadaan tertiarap di dalam bilik air, disyaki selepas cuba membunuh diri.

Semasa ditemui, suspek yang tidak berpakaian berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.

Menurut Tribunnews, kejadian itu terbongkar selepas penduduk sekitar dikatakan telah menghidu bau busuk dan lalat memenuhi rumah sewa suspek tersebut.

Susulan itu, penduduk kemudian melaporkan situasi berkenaan kepada pihak polis.

Bertindak atas laporan yang diterima, polis seterusnya memeriksa rumah tersebut dengan bantuan orang kampung dan menemui semua mangsa yang sudah tidak bernyawa.

Setakat ini, punca kejadian itu masih belum dapat dikenal pasti. Siasatan masih berjalan dan pihak berkuasa sedang mengumpul semua bukti jenayah.

BACA: Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Bertukang Siapkan Rumah

Dalam pada itu, penduduk setempat berkata suspek dipercayai mengalami masalah kewangan dan baru sahaja mendapat kerja sebagai pemandu teksi.

Mereka turut memberitahu bahawa suspek sudah tujuh bulan tidak membayar sewa rumah yang didiami bersama isteri dan empat anaknya.

Sebelum kejadian itu, suspek pernah bertengkar dengan isterinya dan insiden tersebut disaksikan oleh penduduk setempat, pada 3 Disember.

Suspek juga didakwa menampar isteri dan memukul adik iparnya dalam kejadian itu.

Isterinya kemudian diambil oleh ibu bapanya dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Namun begitu, keempat-empat mangsa tidak dibawa sekali, sebaliknya ditinggalkan dibawah jagaan suspek.

Sumber: Tribunnews