Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Buku Idea” Dibawa Ke Mana Mana, Kisah Anak Kongsi Sebab Bapa Tak Pernah Tinggal Buku Nota

NOTA
Kredit: Threads @alia_nurshuhada
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

“Kenapalah YB SS bawa buku nota sampai naik pelamin?”

“Macam pelik sahaja tulis nota dekat semua tempat. Betul ke dia menulis?”

Itulah antara persoalan yang timbul apabila melihat kebiasaan seseorang membawa buku nota ke mana sahaja, termasuk ketika menghadiri majlis perkahwinan.

Kredit: Threads @alia_nurshuhada

Namun, bagi seorang pengguna Threads, tabiat itu bukan sesuatu yang pelik kerana dia sendiri membesar bersama seorang bapa yang tidak pernah meninggalkan buku nota kecilnya.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna dikenali sebagai alia_nurshuhada berkata bapanya sentiasa membawa buku nota kecil yang diberi nama “Buku Idea” bersama sebatang pen, walau ke mana sahaja dia pergi.

Menurutnya, membawa buku nota sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian bapanya, sama seperti memakai baju dan seluar.

Bermula Sejak Menuntut Di Universiti

Berkongsi kisah di sebalik tabiat itu, alia_nurshuhada mendedahkan bapanya mula menulis dalam buku nota 555 ketika menuntut di universiti.

Kredit: Threads @alia_nurshuhada

Katanya, ketika itu bapanya berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), namun berdepan kesukaran memahami bahasa Inggeris.

Malah, menurutnya, bapanya ketika itu tidak mengetahui maksud perkataan mudah seperti “Exit”.

Keadaan itu mendorong bapanya membawa buku nota dan kamus ke mana sahaja untuk mencatat perkataan yang ditemui berserta maksudnya.

Tabiat tersebut turut mengundang gelak tawa sesetengah orang, namun bapanya tetap meneruskan amalan berkenaan.

Jelasnya, tabiat itu bermula selepas seorang pensyarah memberikan pesanan yang terus diingatinya sehingga kini.

“Tak tahu, kena terus catat nanti lupa,” katanya memetik pesanan pensyarah berkenaan.

Ramai Anggap Menulis Nota Amalan Yang Bagus

Kredit: Threads @alia_nurshuhada

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads yang berkongsi pandangan mengenai amalan mencatat nota.

Seorang pengguna, zyamsa25, berpendapat individu yang gemar menulis lazimnya turut suka membaca serta mempunyai banyak pengetahuan.

“Orang suka menulis ini gabungan suka membaca, penuh dengan ilmu dan tidak suka membuang masa,” katanya.

Sementara itu, razifjudi berkongsi bahawa ketuanya pernah memberitahu amalan mencatat nota merupakan antara tip yang dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bos saya cakap, ini tip daripada Tun M. Sebab kita ini pelupa, lebih baik catat dalam buku untuk rujukan akan datang,” katanya.

Pengguna lain, _nraqilahusna, pula berpendapat amalan membawa buku nota sering dikaitkan dengan individu yang gemar mencatat idea sebaik sahaja sesuatu perkara terlintas di fikiran.

“Memang sangat bagus menulis. Selalunya orang genius memang tidak akan tinggalkan buku nota, akan catat sahaja terus kalau terfikir sesuatu,” komennya.

Dalam pada itu, _cempakahelena9 berpandangan menulis menggunakan buku nota dapat membantu seseorang memberikan tumpuan kepada perkara penting.

Menurutnya, walaupun telefon pintar boleh digunakan untuk mencatat nota, pengguna berisiko terganggu apabila membuka aplikasi media sosial.

Buku Nota Hilang, Rasa Seperti Sebahagian Otak Turut Hilang

Lebih mencuit hati, seorang lagi pengguna, fthh_nrl07, turut berkongsi pengalamannya yang menjadikan buku nota sebagai sebahagian daripada rutin harian.

Katanya, dia mempunyai koleksi buku nota yang sudah habis digunakan kerana mahu merujuk semula catatan lama.

Malah, dia pernah menyebabkan seluruh pejabat kecoh apabila buku notanya hilang.

“Sebahagian otak saya sudah hilang!” katanya secara berseloroh, menggambarkan perasaannya ketika kehilangan buku nota tersebut.

Perkongsian itu mencetuskan gambaran bahawa bagi sesetengah individu, buku nota bukan sekadar tempat mencatat, sebaliknya menjadi teman harian untuk menyimpan idea, maklumat dan perkara penting yang mungkin mudah dilupakan.

Sumber:Threads
Intipati
  • Alia_nurshuhada berkongsi kisah bapanya yang sentiasa membawa buku nota kecil dinamakan “Buku Idea”.
  • Tabiat itu bermula ketika bapanya menuntut di UIAM dan sukar memahami bahasa Inggeris.
  • Pengguna Threads turut berkongsi pandangan bahawa mencatat nota membantu menyimpan idea dan maklumat penting.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan