Membesarkan tujuh orang anak bukanlah perjalanan mudah, apatah lagi apabila lima daripada mereka berada dalam spektrum autisme dan memerlukan perhatian berbeza.
Bagaimanapun, bagi Afifah Azizan, 41, perjalanan inilah yang mengajarnya tentang penerimaan, pengorbanan dan kekuatan ketika berdepan pelbagai cabaran membesarkan anak-anak.
Ibu Dengan Lima Anak Autisme, Ini Perkongsian Afifah Dan Suami

Afifah mempunyai tujuh orang anak, iaitu Aida Amanina, 22, Amirul Haziq, 20, Arif Syarafuddin, 18, Aida Afrina, 16, Ahmad Danish, 14, Ayra Elise Zara, 10, dan Adam Tuah Zaqkhary, tujuh tahun.
Daripada tujuh beradik itu, lima daripadanya berada dalam spektrum autisme, manakala Afrina turut mengalami disleksia dan Danish dengan ADHD.
Bercakap kepada SK, Afifah mengakui dahulu dirinya sukar menerima keadaan anak-anak kerana bimbang dengan pandangan negatif masyarakat yang ketika itu masih kurang memahami autisme.
“Dulu, saya macam tak boleh terima. Saya ingatkan mungkin mereka boleh berubah apabila besar,” katanya, mengimbas kembali persepsinya suatu ketika dahulu.
Pernah Terlalu Tertekan Hingga Sukar Mengawal Emosi
Menurut Afifah, keadaan menjadi lebih sukar selepas suami pertamanya meninggal dunia akibat strok sekitar 2012, sekali gus meninggalkan dirinya untuk menguruskan lima orang anak ketika itu.
Dalam keadaan masih bersedih, dia turut berdepan kesukaran menguruskan keperluan harian anak-anak, terutama empat anaknya yang berada dalam spektrum autisme kerana dia masih belum memahami tingkah laku mereka.
Anak keduanya, Amirul Haziq, misalnya, hanya mula bercakap selepas berusia empat tahun dan masih belum mampu menguruskan diri sendiri ketika membesar.
Malah, Amirul hanya berhenti memakai lampin sepenuhnya ketika berusia sekitar lapan atau sembilan tahun, selain pernah menghempas barang dan memasukkan objek bukan makanan ke dalam mulut.

Keadaan itu membuatkan Afifah berasa tertekan, lebih-lebih lagi apabila orang sekeliling mengkritik cara dia membesarkan anak-anak tanpa memahami cabaran sebenar yang dihadapinya.
Dia mengakui pernah melepaskan kemarahan kepada anak-anak kerana tidak mampu mengawal tekanan, sebelum menyedari bahawa tindakan itu turut dipengaruhi pandangan negatif orang lain.
“Bila saya dengar orang, saya akan marah anak saya. Saya bukan marah kepada orang itu, saya marah anak saya,” kongsinya.
Afifah turut berkongsi bahawa dia pernah melalui fasa yang amat sukar dalam hidupnya sehingga berasa hampir berputus asa akibat tekanan yang dihadapi.
Bagaimanapun, kehadiran anak-anak menjadi sumber kekuatan buat dirinya untuk terus bangkit dan meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi apabila menyedari mereka masih memerlukan kasih sayang serta perhatiannya sepanjang proses membesar.
Kehadiran Suami Membuka Ruang Untuk Memahami Anak
Perubahan mula berlaku apabila Afifah mengenali suaminya sekarang, Muhammad Zaqkhwan Zawawi, yang hadir dalam kehidupan mereka ketika dia masih bergelut menguruskan anak-anak.
Menurut Afifah, Zaqkhwan bukan sahaja sanggup menerima dirinya bersama lima orang anak, malah turut berusaha memahami keperluan setiap anak tanpa menganggap mereka sebagai beban.
Zaqkhwan yang pada awalnya tidak mempunyai pengetahuan tentang autisme mula mempelajari pelbagai kaedah melalui jurnal penyelidikan dan kajian bagi memahami tingkah laku serta keperluan anak-anak.
Dia kemudian mencuba pendekatan berbeza secara berperingkat, memerhatikan respons setiap anak sebelum menyesuaikan cara pembelajaran mengikut kemampuan masing-masing.
Usaha itu akhirnya menunjukkan perubahan apabila anak-anak yang dahulu memerlukan bantuan dalam banyak perkara mula belajar menguruskan diri dan melakukan aktiviti harian.
Malah, ketika dikurniakan anak terakhir mereka, Adam yang turut berada dalam spektrum autisme, kedua-dua pasangan ini tidak lagi risau susulan pengalaman membesarkan empat anak dengan kondisi sama sebelum ini.
Afifah berkata, dia turut belajar daripada suaminya untuk memahami cara anak-anak berkomunikasi, sekali gus membantunya melihat kemampuan mereka dari sudut yang berbeza.
“Anak saya boleh buat sebenarnya. Anak saya bukan bodoh macam orang duk kata dia bodoh,” luahnya ketika menceritakan perubahan pandangannya terhadap kemampuan anak-anak.

Perkara Kecil Yang Kini Membuatkan Afifah Bangga
Bagi Afifah, perkembangan anak-anak tidak semestinya diukur melalui pencapaian besar kerana perkara sederhana yang dilakukan sendiri juga membawa makna mendalam buat dirinya.
Dia berasa gembira apabila anak-anak mula membantu melakukan kerja rumah tanpa disuruh, termasuk menyapu sampah, memasak dan membasuh pinggan.
“Benda-benda kecil macam inilah yang buat saya gembira, apabila mereka boleh buat sendiri tanpa perlu disuruh berkali-kali,” katanya.
Malah, melihat mereka bermain bersama adik-beradik, tidak bergaduh atau menunaikan solat sebagai imam turut menjadi detik yang membuatkan Afifah berasa bersyukur.
Perubahan Amirul juga menjadi antara perkara yang paling membanggakannya kerana anak yang dahulu sukar menguruskan diri kini mampu melakukan pelbagai tugasan harian.
Menurut Zaqkhwan, Amirul yang kini berusia 20 tahun sudah mampu bangun awal pagi, menjemur pakaian dan memasak sendiri.
“Dulu kita tengok dia susah nak buat banyak perkara, tetapi sekarang dia dah boleh uruskan diri dan buat kerja sendiri,” katanya.
Bagi pasangan itu, perkembangan tersebut membuktikan bahawa anak-anak dalam spektrum autisme boleh mempelajari kemahiran baharu apabila pendekatan yang digunakan sesuai dengan keperluan mereka.
Daripada Kurang Yakin Kepada Berani Berkongsi Pengalaman
Afifah berkata, dia dahulu seorang yang pendiam dan kurang yakin untuk berhadapan dengan orang lain kerana sering membandingkan perkembangan anak-anaknya dengan kanak-kanak sebaya.
“Dulu saya selalu tengok anak orang lain, mereka boleh buat macam-macam perkara, sedangkan anak-anak saya masih perlukan bantuan untuk perkara tertentu,” katanya.
Namun, apabila mula memahami keperluan anak-anak dan melihat perubahan mereka, dia semakin terbuka untuk berkongsi pengalaman dengan ibu bapa lain.
Kini, dia berharap kisah keluarganya dapat memberi semangat kepada mereka yang sedang bergelut membesarkan anak dalam spektrum autisme agar tidak mudah berputus asa.
Pada masa sama, Afifah mengakui masih memikirkan masa depan anak-anak, khususnya peluang pekerjaan dan penerimaan masyarakat apabila dirinya dan suami tiada lagi untuk menjaga mereka.
“Perkara yang selalu saya fikirkan ialah apa akan jadi kepada anak-anak apabila kami sudah tiada nanti, terutama siapa yang akan menjaga mereka dan bagaimana kehidupan mereka,” katanya.
Dia berharap anak-anaknya kelak diberi peluang untuk berdikari, bekerja dan menjalani kehidupan tanpa terus dipandang rendah hanya kerana mempunyai autisme.
Jangan Serahkan Semua Tanggungjawab Kepada Orang Lain

Bagi Zaqkhwan, ibu bapa perlu terus menambah ilmu untuk memahami anak-anak, selain mendapatkan bantuan pakar apabila diperlukan.
Bagaimanapun, dia mengingatkan supaya ibu bapa tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab membantu perkembangan anak kepada pihak lain kerana keluarga juga memainkan peranan penting dalam proses tersebut.
Menurutnya, ibu bapa boleh menghantar anak ke mana-mana pusat yang sesuai, namun mereka juga perlu mempunyai pengetahuan tentang autisme agar memahami keperluan anak serta pendekatan yang digunakan oleh pihak berkenaan.
“Kalau kami boleh, kenapa kamu tak boleh?” katanya, sambil menggalakkan ibu bapa supaya terus berusaha mencari ilmu dan memahami anak masing-masing.
Bagi Afifah dan Zaqkhwan, perjalanan membesarkan anak-anak dalam spektrum autisme bukan sekadar tentang menghadapi cabaran, tetapi turut belajar mengenali kemampuan mereka yang mungkin tidak terlihat pada awalnya.
Mereka berharap lebih ramai ibu bapa mendapat sokongan dan panduan yang betul, manakala masyarakat pula memberi ruang kepada individu autistik untuk belajar, bekerja dan menjalani kehidupan seperti orang lain.

