Kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia yang masih berlarutan bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah turut menjejaskan flora dan fauna di kawasan terlibat.
Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seekor ular sawa yang mengalami kesan kebakaran pada seluruh tubuhnya, namun masih mampu bergerak.
Menerusi perkongsian @azkano3139, ular sawa itu dipercayai terperangkap dalam kebakaran hutan yang berlaku di Kalimantan.
Ular Cedera Akibat Kebakaran Di Kalimantan Masih Hidup
Menurutnya, ular berkenaan dilihat menjalar dari kawasan yang sudah terbakar menuju ke arah sebuah sungai kecil.
@azkano3139 turut meluahkan rasa kasihan melihat haiwan itu bergerak perlahan-lahan menuju ke sungai.
“Astagfirullah, ini kesan kebakaran hutan untuk pertanian. Ini ular hitam, kasihan,” katanya sambil menunjukkan keadaan tubuh ular tersebut.
Pada tubuh ular itu, jelas kelihatan kesan luka dan kebakaran yang dialaminya.
Walaupun dirakam dari jarak dekat oleh @azkano3139, ular tersebut seolah-olah tidak lagi menghiraukan keadaan sekeliling, sebaliknya terus bergerak menuju ke sungai.
Menurut @azkano3139 lagi, dia bersyukur kerana ular berkenaan masih hidup meskipun telah melalui kebakaran tersebut.
“Nasib baik dia masih hidup. Semoga dia panjang umur. Dekat sini ada sungai kecil, dia seperti mau cari air.
“Ini kesan kebakaran hutan di Kalimantan. Kasihan semua ekosistem yang ada,” luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut meluahkan rasa simpati terhadap ular tersebut yang terjejas akibat kebakaran hutan berkenaan.



Untuk rekod, kebakaran hutan dan lahan di beberapa wilayah Kalimantan masih berlarutan sejak beberapa bulan lalu, dengan operasi pemadaman dan penanganan terus dipergiatkan bagi mengawal keadaan.

