Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tempuh Lebih 1,600km Dengan Kereta Api, Remaja 16 Tahun Bawa Datuk Melancong Ke Singapura

Remaja Bawa Datuk melancong
Kredit: Instagram Queue

Melancong ke luar negara pastinya menjadi impian ramai, lebih-lebih lagi jika berpeluang membawa insan tersayang menikmati pengalaman itu bersama-sama.

Bagi sesetengah orang, percutian sebegini bukan sekadar peluang melihat tempat baharu, malah menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan sepanjang hayat.

Begitulah kisah seorang remaja berusia 16 tahun dari Thailand yang berjaya membawa datuk tersayangnya mengembara ke Singapura tanpa menaiki kapal terbang.

Menerusi hantaran di Instagram, remaja yang dikenali sebagai Queue itu berkongsi foto dan video sepanjang perjalanan mereka dari Thailand, merentasi Malaysia sebelum tiba di Singapura.

Menariknya, Queue dan datuknya memilih untuk menaiki kereta api serta menggunakan pengangkutan darat lain sepanjang perjalanan tersebut.

Menurut Queue, mereka memulakan perjalanan dari Nakhon Pathom menuju ke Su-ngai Kolok, Thailand, dengan menaiki kereta api kelas ketiga.

Setibanya di sana, mereka berjalan kaki menuju ke sempadan Thailand-Malaysia sebelum menaiki bas ke Stesen Pasir Mas, Kelantan.

Dari Pasir Mas, mereka meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta api menuju ke JB Sentral, Johor Bahru, dengan harga tiket 390 baht (RM47) seorang.

Selepas tiba di Johor Bahru, mereka menaiki bas ke Woodlands, Singapura, dengan tambang hanya 50 baht (RM6) seorang.

Bagaimanapun, pengembaraan mereka bukan hanya tentang perjalanan jauh, malah Queue turut berkongsi cara mereka menguruskan perbelanjaan sepanjang berada di sana.

Bagi menjimatkan kos, mereka memilih untuk menginap di Johor Bahru, dengan bayaran penginapan ditanggung oleh abang Queue.

Remaja Bawa Datuk Melancong Ke Singapura

Menurutnya, penginapan di Johor Bahru menelan belanja hampir 2,000 baht (RM243.70) untuk satu malam.

Biarpun perjalanan dari Thailand ke Singapura mengambil masa dua hari, Queue menganggap segala penat lelah itu berbaloi apabila berjaya merealisasikan impiannya membawa datuk tersayang ke negara tersebut.

“Saya naik kereta api dari Kachanaburi ke Singapura tanpa menaiki kapal terbang. Pada usia 16 tahun, saya akhirnya berjaya merealisasikan perjalanan ini. Memang berbaloi semua penat lelah,” katanya.

Lebih menarik, kunjungan kali ini turut memberi peluang kepada Queue untuk mencipta kenangan baharu bersama datuknya di lokasi yang pernah dikunjunginya sebelum ini.

Queue memaklumkan bahawa dia pernah melancong ke Singapura pada 2022, ketika berusia sekitar 12 tahun.

Jika sebelum ini dia bergambar di hadapan Merlion, kali ini Queue kembali ke lokasi ikonik itu untuk merakamkan foto datuknya pula.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang memuji usaha Queue membawa datuknya mengembara, selain berharap mereka dapat mencipta lebih banyak kenangan bersama pada masa akan datang.

Sumber:Instagram
Intipati
  • Queue, remaja Thailand berusia 16 tahun, membawa datuknya ke Singapura melalui perjalanan darat.
  • Mereka menaiki kereta api, berjalan kaki merentasi sempadan dan menggunakan bas sepanjang perjalanan.
  • Queue berkata perjalanan dua hari itu berbaloi kerana berjaya mencipta kenangan bersama datuknya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan