Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Sesaat Pun Tak Menyesal”, Zaqkhwan Pilih Kahwini Balu, Besarkan Lima Anak Tiri Termasuk Empat Anak Autistik

Zaqkhwan Pilih Kahwini Balu Anak Lima

Bagi sesetengah orang, berkahwin bermakna memulakan kehidupan baharu bersama pasangan dan membina keluarga dari awal.

Namun, bagi Muhammad Zaqkhwan Zawawi, 41, keputusan itu membawa tanggungjawab lebih besar apabila dia memilih untuk mengahwini Afifah Azizan, seorang balu dengan lima orang anak.

Lebih mencabar, empat daripada lima anak tersebut merupakan individu autistik yang memerlukan perhatian serta penjagaan khusus.

Meskipun sedar akan tanggungjawab yang bakal dipikul, Zaqkhwan tetap meneruskan keputusan itu kerana percaya dirinya mampu membantu keluarga berkenaan.

Keputusan Zaqkhwan Pilih Kahwini Balu Anak Lima Bermula Dengan Niat Membantu

Bercakap kepada SK, Zaqkhwan berkata dia mempunyai pelbagai pencapaian dalam hidupnya, namun dia masih merasakan perlu mencari sesuatu yang boleh memberi makna kepada kehidupannya.

Selepas bertemu dengan isterinya, Zaqkhwan mula terfikir bahawa dia boleh melakukan sesuatu untuk membantu keluarga tersebut.

“Saya boleh jadi seperti pihak ketiga lain - lihat dan bersimpati, dan berlalu pergi, tak berdosa pun.

“Tapi saya membuat keputusan untuk mengambil tanggungjawab, kerana jauh dari sudut hati saya, saya yakin saya mampu berbuat sesuatu.

“Sebelum advokasi dalam lanskap autism, penglibatan saya dalam program kemasyarakatan yang pelbagai secara individu membawa saya ke titik ini,” katanya.

Sebelum membuat keputusan berkahwin, dia turut mendapatkan pandangan ibunya yang menerima pilihannya kerana sudah mengenali peribadi Zaqkhwan.

Bagaimanapun, Zaqkhwan akui ketika itu pengetahuannya mengenai autisme masih kosong, namun percaya pengalaman membantu masyarakat sebelum ini boleh digunakan untuk menjaga keluarga berkenaan.

Pengalaman Bersama Komuniti Memupuk Keinginan Membantu

Sebelum mengenali Afifah, Zaqkhwan sudah biasa menyertai kegiatan sukarelawan untuk membantu pelbagai golongan, termasuk komuniti Orang Asli dan remaja yang terlibat gejala sosial.

Menurutnya, dia membesar dalam keluarga yang baik dan berpeluang mendapat pendidikan di sekolah yang bagus, malah menerima tajaan penuh ketika melanjutkan pengajian ke universiti.

Menyedari bukan semua orang mendapat peluang yang sama, Zaqkhwan merasakan kelebihan yang dimilikinya wajar dikongsi dengan mereka yang memerlukan bantuan.

“Saya bersyukur kerana perjalanan secara individu dipermudahkan Allah. Sejak dari sekolah rendah lagi, sehingga peringkat tertinggi, saya bernasib baik dan bertuah kerana mendapat pelbagai kelebihan.

“Di satu tahap, bila melihat mereka dalam masyarakat yang tidak mendapat kelebihan yang sama, saya tergerak untuk membantu mereka sebaik dan sejauh yang saya mampu,” ujarnya.

Antara usaha yang pernah dilakukannya termasuk mendekati remaja yang terlibat dalam kegiatan gejala sosial dan membantu mereka melihat pembelajaran daripada sudut berbeza.

Zaqkhwan turut menggunakan kaedah tersendiri untuk meningkatkan minat seorang remaja terhadap pelajaran, sehingga menunjukkan perubahan dalam tempoh singkat.

Kongsinya, selepas dibimbing selama sebulan, keputusan peperiksaan remaja tersebut berjaya menyamai pencapaian pelajar di kelas hadapan.

Lebih daripada keputusan peperiksaan itu, dia gembira apabila remaja berkenaan mula mempunyai semangat untuk belajar dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan ajakan rakan untuk ponteng sekolah.

Tiba-Tiba Bergelar Bapa Kepada Lima Anak

Selepas berkahwin dengan Afifah, Zaqkhwan bukan sahaja memikul tanggungjawab sebagai suami, malah turut bergelar bapa kepada lima orang anak.

Dia mengakui tidak mempunyai pengalaman membesarkan anak, apatah lagi menguruskan lima orang serentak dengan empat daripadanya individu autistik.

Dalam masa sama, Afifah masih bergelut dengan kesan kehilangan suami pertamanya yang meninggal dunia secara mengejut akibat strok.

Melihat keadaan itu, Zaqkhwan mengambil tanggungjawab menjaga Afifah dan kelima-lima anaknya.

“Dia terkejut, jadi pada awal itu [perkahwinan], sayalah bapa, sayalah bapa tiri, sayalah ibu. Sayalah masak, sediakan anak-anak, selesaikan keadaan anak-anak autistik, cari duit dan macam-macam. Semuanya saya,” ujarnya.

Pada masa yang sama, bagi menampung perbelanjaan keluarga, Zaqkhwan juga melakukan tiga pekerjaan dan ada kalanya bekerja hingga pukul 4 pagi.

Kehadiran Dua Lagi Anak Membawa Cabaran Baharu

Ketika masih menyesuaikan diri dengan tanggungjawab membesarkan lima orang anak, Zaqkhwan dan Afifah dikurniakan cahaya mata keenam, Ayra Elise Zara.

Namun, kegembiraan itu turut disertai kebimbangan apabila anak mereka dilahirkan dengan masalah jantung, Tetralogi Fallot (ToF) yang menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk bergerak dan bercakap sehingga berusia empat tahun.

Lebih mencabar, ketika Elise dijadualkan menjalani pembedahan jantung, Afifah pula mengalami kecederaan pada kaki sehingga turut memerlukan pembedahan.

Dalam tempoh sama, Afifah melahirkan anak ketujuh mereka, menyebabkan Zaqkhwan perlu berulang-alik antara rumah serta wad isteri dan anaknya.

Mengimbas kembali pengalaman itu, dia menganggap minggu berkenaan antara tempoh paling mencabar sepanjang kehidupan mereka bersama.

Belajar Memahami Autisme Demi Anak-Anak

Zaqkhwan mengakui langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang autisme sebelum mengenali Afifah dan anak-anaknya.

Pengalaman itu mendorongnya mendalami ilmu berkaitan autisme dengan membaca buku, jurnal dan kertas penyelidikan.

Menurutnya, dia menghabiskan lebih 10 tahun untuk memahami kajian dan memudahkan ilmu tersebut supaya dapat diterangkan kepada orang ramai.

“Ia tak mudah. Saya habiskan lebih daripada 10 tahun untuk memudahkan kajian saya jadi bila saya terangkan kepada sesiapa, semua orang boleh faham,” katanya.

Bagaimanapun, dia percaya tanggungjawab membantu perkembangan anak autistik tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada guru atau ahli terapi.

Sebaliknya, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang betul dan memainkan peranan di rumah.

Di Sebalik Tanggungjawab, Zaqkhwan Akui Pernah Berdepan Tekanan Emosi

Di sebalik kesungguhannya menguruskan keluarga, Zaqkhwan mengakui tanggungjawab besar yang dipikul turut memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikalnya.

Malah, dia pernah beberapa kali terlintas untuk menamatkan hidup, meskipun tidak pernah terfikir untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.

Dia berkongsi pernah menghubungi talian bantuan bunuh diri kerana memerlukan seseorang untuk mendengar masalahnya tanpa perlu mendedahkan identiti.

“Nak bunuh diri, banyak kali. Saya tak berputus asa terhadap anak-anak saya, tapi mental ni, ia tak mudah.

“Saya call talian bunuh diri. Bukan kita nak bunuh diri. Saya perlukan seseorang untuk bercakap secara anonimus,” kongsinya.

Mahu Bina Masa Depan Lebih Baik Untuk Individu Autistik

Selain membantu keluarga sendiri, Zaqkhwan turut merancang beberapa inisiatif bagi membuka lebih banyak peluang kepada individu autistik.

Antaranya termasuk Autism Factory, program yang bertujuan mengembangkan bakat mereka dalam bidang seni seperti lukisan dan penceritaan, sebelum hasil karya dikembangkan menjadi komik serta animasi.

Dia turut berkongsi perancangannya menerusi Persatuan My Autism Kebangsaan bersama anak syarikat Koperasi Angkasa, MyAngkasa Amanah Berhad selaku pemegang amanah, untuk melancarkan Tabung Autisme Kebangsaan.

Tabung itu bertujuan membantu ibu bapa dan anak autistik, khususnya daripada golongan asnaf dan B40, dari segi perkembangan anak, pendidikan serta kelangsungan hidup mereka.

Tabung itu dirancang untuk menyediakan bantuan bagi keperluan pendidikan, perkembangan anak serta kelangsungan hidup mereka, termasuk urusan tempat tinggal dan pekerjaan apabila ibu bapa sudah tiada atau tidak lagi mampu menjaga mereka.

Tidak Pernah Menyesal Walau Sesaat

Selepas lebih sedekad membina kehidupan bersama Afifah dan anak-anak, Zaqkhwan mengakui dia tidak pernah menyesali keputusan untuk menerima keluarga itu sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Malah, jika diberi peluang mengulangi kehidupannya, dia tetap akan membuat pilihan yang sama.

“Saya tak pernah menyesal satu saat. Saya tak menyesal dulu, sekarang dan saya akan buat semula jika perlu,” katanya.

Bagi Zaqkhwan, kehidupan turut membawa makna apabila seseorang mampu memberikan manfaat kepada orang lain.

Dia berharap tujuh orang anaknya membesar menjadi insan terbaik mengikut kemampuan masing-masing, selain belajar daripada usaha yang dilakukannya setiap hari.

Jika berkemampuan, dia juga berharap mereka dapat meneruskan legasinya untuk membantu orang lain.

Intipati
  • Zaqkhwan mengahwini Afifah, balu lima anak, termasuk empat individu autistik memerlukan penjagaan khusus.
  • Dia melakukan tiga pekerjaan dan mengurus keluarga ketika isterinya berdepan trauma serta cabaran kesihatan.
  • Zaqkhwan merancang inisiatif membantu individu autistik melalui Autism Factory dan Tabung Autisme Kebangsaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan