Siakap Keli
anggota kabinet berbulan madu
Kredit: Anwar Ibrahim/Facebook

Tiada Tempoh Berbulan Madu Buat Mana-mana Anggota Kabinet – PM Anwar

Tiada Tempoh Berbulan Madu Buat Mana-mana Anggota Kabinet – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan tiada tempoh bulan madu bagi semua anggota kabinet termasuk yang baru dilantik sebaliknya segera menyelesaikan masalah rakyat.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata dalam mesyuarat yang dijalankan beliau juga menekankan tentang bidang tugas baharu setiap kementerian masing-masing selain mengalu-alukan ahli-ahli jemaah menteri baharu.

“Saya tuntut hasil untuk Kerajaan ini segera menyelesaikan masalah rakyat, menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang-bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara.

“Saya turut titip pesan agar tumpuan dan keutamaan kini mesti lebih terarah dan pantas dalam usaha menterjemah cita dan nurani rakyat.

“Mesyuarat juga mengutus penghargaan buat mantan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar sumbangan yang telah diberikan,” katanya dalam hantaran pada Rabu.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh anggota Kabinet baharu iaitu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Ghani, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada Mesyuarat Pertama Kabinet Baharu Jemaah Menteri.

BACA: J-KOM Kini Di Bawah Kementerian Komunikasi

Semalam, Anwar mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Manakala, Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

Sumber: Anwar Ibrahim/Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana