Boleh Ke Wanita Botakkan Kepala Tanpa Sebab Munasabah? Ini Jawapan Mufti Wilayah
Seperti yang diketahui, trend fesyen wanita merangkumi pelbagai perkara antaranya seperti pakaian, aksesori termasuklah gaya rambut.
Selama ini, gaya botak merupakan perkara yang agak asing dan janggal bagi wanita. Namun, jangan tidak tahu pula bahawa memang ada wanita yang membotakkan rambut untuk berfesyen.
Sungguhpun begitu, terdetik persoalan berkenaan gaya ini memandangkan ia sebenarnya sinonim dengan golongan lelaki. Justeru, apakah hukum wanita membotakkan kepala?
Pejabat Mufti Wilayah telah menjawab persoalan tersebut secara kritis dan terperinci, berikut merupakan jawapannya:
Berdasarkan persoalan di atas, terdapat dua pandangan para ulama’ mengenai permasalahan tersebut.
Ulama’ dikalangan mazhab Hanafi dan juga Maliki mengatakan haram hukumnya bagi wanita untuk membotakkan atau mencukur rambut mereka. Ianya berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW daripada ‘Ali RA:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang wanita dari mencukur kepala mereka.
Riwayat Al-Tirmizi (914) & Al-Nasa’ie (5049)
Hadith di atas menunjukkan kepada larangan mencukur kepala bagi wanita ketika bertahallul (Haji & Umrah) dan begitu juga secara mutlaknya kecuali sekiranya terdapat darurat.
Begitu juga dengan pendapat al-Hanafiyah dan juga al-Hanabilah yang mengatakan tidak mengapa untuk mencukur rambut bagi wanita sekiranya terdapat keuzuran dan juga sakit.
Adapun al-Syafi’ieyyah dan sebahagian al-Hanabilah mengatakan ianya hanyalah makruh sahaja. Larangan yang terdapat pada hadith di atas hanyalah bersifat makruh tanzih.
Meskipun begitu, kami lebih cenderung kepada haram hukumnya kerana kaedah menyebutkan النهي يقتض التحريم iaitu tegahan membawa maksud haram kecuali jika dipindahkan kepada yang lain berdasarkan kepada nas dan hujah-hujah yang lain.
Seterusnya, membotakkan kepala lebih kepada sifat kelakian dan ini boleh membawa kepada isu yang lain pula iaitu isu tasyabbuh dengan lelaki yang mana ianya jelas haram sekiranya seorang perempuan itu ingin menyerupai lelaki.
Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kefahaman yang mendalam di dalam beragama dan juga penghayatan yang baik ketika melayari bahtera kehidupan. Amin.
BACA: Ramai Tak Sedar Paras Kolesterol Tinggi, Doktor Dedah Bahaya Menanti
Sumber: Mufti WP