Akibat Tahan Bersin, Lelaki Merana Tekak Terkoyak
Ketika anda berada di kawasan yang agak senyap seperti di dalam dewan peperiksaan, perpustakaan ataupun ketika berada di mesyuarat, pernah tak anda menahan diri daripada terbersin?
Kebanyakan orang akan cuba menahan rasa mahu bersin apabila berada di tempat-tempat seperti yang dinyatakan. Tetapi, ia sebenarnya tidak patut dilakukan kerana boleh memudaratkan.
Demikianlah yang berlaku ke atas seorang lelaki di Scotland yang menderita kesakitan akibat tekaknya yang terkoyak. Ia berpunca daripada lelaki itu mahu menahan bersin ketika dia sedang memandu kereta. Akibat kesakitan yang dialami, lelaki itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Ninewells di Dundee, Scotland.
Difahamkan apabila seseorang itu cuba menahan diri daripada bersin dengan cara memicit hidung dan menutup mulut, ia akan menyebabkan peningkatan tekanan pada saluran pernafasan sebanyak 20 kali ganda.
Disebabkan itu, ia boleh memberikan kecederaan yang serius seperti kepecahan pada gegendang telinga, aneursym dan boleh menyebabkan kepatahan tulang rusuk.
Tetapi, lelaki itu telah mengalami kecederaan yang luar biasa iaitu mengalami tekak yang terkoyak sebesar dua milimeter. Walaupun ia tidak terkoyak dengan besar, ia masih menyakitkan. Dalam perubatan, ia dikenali sebagai spontaneous tracheal perforation.
Ia merupakan kecederaan yang jarang berlaku yang boleh menyebabkan kematian, namun ia juga dipercayai tidak dikaitkan dengan menahan bersin sebagai punca utama ia terjadi.
Tekak Terkoyak
Berbalik kepada kes lelaki tadi, apabila tiba di wad kecemasan, dia berada dalam keadaan kesakitan dengan lehernya bengkak di kedua-dua bahagian, selain tidak boleh menggerakkan kepalanya. Dia memberitahu doktor bahawa dirinya mengalami hay fever ketika memandu dan menahan diri daripada terbersin hingga menjadi punca kecederaan tekaknya.
Ketika pesakit yang tidak dinamakan itu sedang diperiksa oleh doktor, doktor telah mendapati bahawa dia dapat mendengar bunyi berderak yang perlahan. Ia kedengaran dari dalam tekaknya dan itu merupakan petanda bahawa tekaknya sedang tercedera.
Namun, doktor mendapati bahawa kecederaan itu tidak mengganggu pesakit daripada bernafas, menelan dan bercakap. Kemudian, pesakit itu telah dibenarkan untuk pulang dan diberi ubat tahan sakit serta ubat untuk hay fever.
Dia juga dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti yang berat selama dua minggu. Kemudian, selepas lima minggu dia berjumpa doktor kembali untuk pemeriksaan dan mendapati bahawa bahagian tekaknya yang terkoyak itu telah pun sembuh.
Dr Rasads Misirov yang merawatnya memberikan nasihat umum kepada BBC iaitu, “Kita perlu menutup muka dengan tangan ataupun menggunakan bahagian dalam siku untuk mengelakkan virus, air liur dan lendir daripada terkena orang lain.
“Saya sendiri menggunakan cara menekankan ibu jari di bahagian bibir atas, betul-betul di bawah hidung tanpa menghalang saluran hidung selama beberapa saat. Dengan tidak menghalang saluran hidung, bersin itu boleh ‘keluar’ sekiranya menahan bersin itu tidak berkesan,” katanya.
Sumber: Oddity Central