Siakap Keli
Gambar via BBC

Gajah Pecahkan Cermin Van Untuk Cari Makanan

Gajah Pecahkan Cermin Van Untuk Cari Makanan

Kemalangan yang melibatkan haiwan merupakan sesuatu yang agak kerap berlaku. Kalau bukan kemalangan kerana pemandu terlanggar sekumpulan haiwan ternakan yang melintasi jalan, akan ada kemalangan yang berlaku kerana pemandu terlanggar seekor gajah.

Tetapi, lain pula yang berlaku kepada keluarga Kasun Basnayake, yang bercuti di Sri Lanka dan sedang bersiar-siar di sekitar Taman Negara Yala. Dalam video yang dikongsikan oleh BBC, keluarga itu tidak terlanggar seekor gajah, sebaliknya, seekor gajah telah menghampiri van yang dinaiki oleh mereka pada ketika itu.

Dalam video itu, ketika gajah itu keluar dari celahan pokok-pokok, pemandu van telah mencuba untuk terus memandu. Tetapi, gajah itu lebih pantas dan telah merempuh van yang dinaiki oleh mereka.

Kemudian, ia telah menggunakan gadingnya untuk memecahkan cermin van. Ia juga telah menggunakan belalainya untuk menyelongkar kenderaan itu. Pada waktu itu, kedengaran suara kanak-kanak di tempat duduk belakang yang ketakutan dengan kejadian itu.

“Boleh saya keluar? Saya takut,” kata kanak-kanak itu.

Bapanya yang berada bersamanya cuba untuk menenangkan kanak-kanak itu.

Gajah Mencari Makanan

Kelihatan gajah itu asyik mencari makanan di tempat duduk belakang dan telah mengambil sesuatu. Ketika kejadian itu berlaku, pemandu itu sekali lagi mencuba untuk teruskan pemanduan tetapi dia harus mengelak daripada terkena belalai gajah yang sedang mencari makanan itu.

“Ia menghidu di sekitar kaki kami untuk mencari makanan dan pemandu kami telah menyuruh kami untuk berikan segala makanan yang kami ada kepada gajah itu. Jadi saya berikan lebihan sandwic anak saya kepada gajah itu.

“Dia juga meminta saya supaya membuangkan lebihan makanan yang lain ke luar tingkap, jadi saya lakukannya. Kemudian, pemandu kami itu dapat melepaskan diri kami semua daripada gajah itu,” kata Kasun kepada BBC.

Dalam video tersebut, jelas Kasun telah membuangkan lebihan makanan yang terdapat dalam van itu ke luar tingkap. Apabila pemandu van berjaya untuk teruskan pemanduan, gajah itu sempat merempuh van itu sebelum ia bergerak menjauhinya.

Kejadian yang berlaku itu tidak mencatatkan sebarang kecederaan ke atas pemandu dan penumpang-penumpang yang berada di dalam van itu.

Sumber: BBC

BACA JUGA: Beberapa Laluan Di Kuala Krai Dinaiki Air Awal Pagi Tadi

Nurul Alya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.