Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menafikan dakwaan bahawa tiga ekor gajah Malaysia yang ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun mengalami pengabaian dan penderaan.
Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata laporan terkini daripada pihak Tennoji Zoo serta penilaian teliti oleh MPT mendapati keadaan tiga gajah berkenaan, iaitu Dara, Amoi dan Kelat, adalah baik.
Dara, Amoi Dan Kelat Sihat Di Zoo Tennoji

“Pemerhatian veterinar serta pemantauan harian menunjukkan gajah-gajah tersebut aktif, sihat dan telah berjaya menyesuaikan diri dengan baik.
“Dara, Amoi dan Kelat juga telah ditempatkan bersama semula sejak 20 September 2026 dan mempunyai akses bebas ke seluruh kawasan pameran serta kurungan malam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya mengambil maklum tentang pandangan dan pelbagai komen yang tular di media sosial berhubung tingkah laku ketiga-tiga gajah berkenaan.
“MPT ingin menjelaskan sekali lagi bahawa tingkah laku tersebut tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan, kemurungan atau kebajikan haiwan yang terjejas, selain menegaskan bahawa tiada pengabaian atau penderaan dilakukan terhadap gajah-gajah tersebut,” jelasnya.
Penjelasan berkenaan dibuat susulan kebimbangan orang ramai terhadap tingkah laku seperti head swaying dan zoochosis, selain episod musth yang dialami Kelat.
Jelasnya, pergerakan kepala berulang boleh dikaitkan dengan tingkah laku menjangka makanan, justeru perkara itu tidak semestinya menunjukkan tekanan mental atau kebajikan haiwan yang terjejas.
Bagi Kelat pula, beliau memaklumkan bahawa gajah jantan itu hanya mengalami dua episod musth sejak tiba di Jepun, iaitu pada Mei dan September 2026.
“Kekerapan episod musth yang dialami Kelat adalah disebabkan oleh pengambilan makanan berkhasiat tinggi dan lengkap yang disediakan oleh pihak Tennoji Zoo.
“Tidak dinafikan Kelat mengalami penurunan berat badan semasa dua episod musth tersebut, namun keadaan itu adalah normal seperti yang pernah diterangkan sebelum ini.
“Berat badan Kelat ketika ini telah meningkat dan menghampiri berat yang direkodkan sebelum episod musth kedua pada September 2026,” jelasnya.
Mohamed Akmal turut menafikan dakwaan bahawa suntikan hormon diberikan untuk meningkatkan kekerapan episod musth Kelat.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak Tennoji Zoo sentiasa melaksanakan program pengayaan (enrichment) bagi memenuhi keperluan kebajikan gajah-gajah tersebut, termasuk melalui kepelbagaian aktiviti, makanan dan kaedah pemberian makanan yang dapat membantu mengekalkan kesejahteraan serta kesihatan mental haiwan berkenaan.

Katanya, pihak zoo itu juga memberikan komitmen tinggi bagi memastikan kebajikan, kesihatan, pemakanan, rawatan veterinar, keselamatan serta pengurusan harian gajah dilaksanakan mengikut piawaian dan amalan terbaik antarabangsa.
Dalam pada itu, ketiga-tiga gajah tersebut menunjukkan peningkatan berat badan sejak tiba di Jepun, dengan Kelat mencatatkan pertambahan sebanyak 580 kilogram.
Dara pula mencatatkan peningkatan sebanyak 575 kilogram, manakala Amoi merekodkan pertambahan sebanyak 405 kilogram berbanding berat ketika ketibaan mereka pada Mac 2026.

