Siakap Keli
pegawai kanan polis didakwa
Kredit: BERNAMA

Pegawai Kanan Polis Didakwa Bunuh Pelajar Sekolah

Pegawai Kanan Polis Didakwa Bunuh Pelajar Sekolah

IPOH, 18 Dis (Bernama) — Seorang pegawai kanan polis hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, 44, yang memasuki mahkamah sambil kepala ditutup dengan kain, berbaju putih dan berseluar hitam, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP), didakwa melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis.

BACA: Wakil Keluarga Mangsa Langgar Hadir Ke Mahkamah

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pegawai Pendakwa Raya Azlina Rasdi (Ketua), Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaakob, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Akmal Mod Said, Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, Timbalan Pendakwa Raya J.S. Geetha dan Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui.

Sementara tertuduh diwakili peguam Low Yap Loong.

Tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh dan mahkamah menetapkan 7 Feb 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan berkaitan, antaranya laporan kimia.

Pada 15 Dis lepas, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Zaharif meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.

Susulan itu, pegawai kanan polis berkenaan ditahan reman tiga hari bermula Sabtu, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, abang mangsa Zarul Fitri, 29, dilihat berlinangan air mata ketika mengikuti sesi pertuduhan tersebut.

BACA: Bekas Komando Ditemukan Meninggal Dunia Dalam Kebun Kelapa Sawit Di Kluang

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi perkarangan mahkamah apabila keluarga Muhammad Zaharif tiba bagi mengikuti pendakwaan kes berkenaan.

Bapa saudara mangsa Abdul Razak Judin, 48, ketika ditemui pemberita di luar perkarangan mahkamah berkata beliau bersama dua lagi saudara yang lain, hadir bagi mendengar pertuduhan kes hari ini.

“Setakat ini ibu bapa dan keluarga mangsa, Alhamdulillah sudah boleh menerima apa yang telah berlaku dan kita semua reda dengan pemergian arwah,” katanya.

Puluhan anggota polis turut dilihat mengawal sekitar perkarangan mahkamah, dan keadaan berada dalam keadaan terkawal.

Semalam, Jabatan Peguam Negara melalui kenyataan memaklumkan pegawai kanan polis terbabit dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, dengan pihaknya mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk mendakwa suspek atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana