Siakap Keli
Lelaki baling dua bom tangan
Kredit Tangkap Layar Video Tular

Lelaki Baling Dua Bom Tangan Ketika Mesyuarat Sedang Berlangsung

Lelaki Baling Dua Bom Tangan Ketika Mesyuarat Sedang Berlangsung

Seorang terbunuh manakala 26 yang lain cedera selepas seorang lelaki dilapor membaling bom tangan ketika mesyuarat majlis di Ukraine pada semalam, lapor India Today.

Menurut agensi berita tempatan Ukraine, insiden pengeboman itu berjaya dirakam dan ia dilaporkan berlaku di sebuah bangunan majlis kampung Keretsky di Zakarpattia.

Difahamkan, lelaki yang melakukan pengeboman itu adalah merupakan timbalan dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, pihak Polis Negara Ukraine telah mengesahkan insiden tersebut yang berlaku kira-kira jam 11.37 di sebuah bangunan Majlis Keretsky daerah Mukachevo.

“Pada 11.37 pm, mesej telah diterima di talian 102 yang memaklumkan bahawa seorang timbalan (suspek) telah meletupkan bom tangan di bangunan Majlis Keretsky daerah Mukachevo,” tulis Polis Negara menerusi satu hantaran Facebook.

Susulan kejadian itu, lelaki yang membaling bom tangan tersebut telah terkorban, manakala 11 yang lain cedera.

“Berdasarkan maklumat awal, akibat letupan itu, lelaki yang membaling bom telah terbunuh dan 11 lagi cedera,” tulis Polis Negara Ukraine lagi.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat terbaru yang dikemas kini oleh laman Facebook tersebut, seramai 26 orang telah didapati cedera.

Dipercayai, enam daripadanya mengalami kecederaan yang serius akibat letupan tersebut.

Pasukan perubatan dikatakan sedang menjalankan operasi bedah siasat ke atas mayat lelaki yang membaling bom tangan tersebut.

Sehingga kini, siasatan lanjut masih lagi sedang dijalankan oleh pihak Polis Negara Ukraine.

Video letupan tular di beberapa media sosial

Sementara itu, berdasarkan video rakaman pengeboman tersebut yang tular di media sosial, ahli majlis pada awalnya dapat dilihat sedang mengadakan mesyuarat.

Mesyuarat itu dipercayai sedang diadakan di dalam sebuah bilik di bangunan Majlis terbabit.

Beberapa saat kemudiannya, kelibat seorang lelaki berbaju serba hitam dilihat memasuki ruangan bilik mesyuarat tersebut.

Tidak lama kemudian, lelaki itu mengeluarkan bom tangan dari kocek seluarnya lalu membalingnya ke atas lantai bilik mesyuarat tersebut.

Bom itu akhirnya meletup dan suasana kecoh kedengaran datang daripada mangsa yang berada di dalam bilik berkenaan.

Video berakhir dengan suasana kekecohan mangsa yang terkejut dengan kejadian letupan yang berlaku.

BACA: “Saya Perlukan Kalian”, Kakak Pelajar Maut Minta Saksi Buat Laporan

Sumber: India Today

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka