Muhammad Jadi Nama Anak Lelaki Paling Popular 2023 Di UK
Nama yang sinonim dalam kalangan umat Islam, Muhammad telah dinobatkan sebagai nama bayi lelaki paling popular di United Kingdom (UK) pada tahun ini.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan BabyCentre, nama berkenaan telah menduduki tangga teratas bagi nama bayi lelaki di UK pada 2023.
Senarai terbaharu itu menyaksikan Muhammad kekal menjadi antara nama bagi bayi lelaki yang paling popular di negara itu untuk beberapa tahun.
Selain itu, beberapa variasi ejaan nama berkenaan seperti “Mohammed” dan “Mohammad” turut tersenarai dalam senarai terbabit.
Noah pula muncul sebagai nama kedua paling popular. Senarai itu kemudian diisi oleh pelbagai nama iaitu Theo, Leo, Oliver, Arthur, George, Luca, Freddie dan Jack.
Antara nama Muslim yang turut tersenarai dalam senarai 100 nama popular termasuklah, Ali, Abdullah, Ibrahim, Abdul, Musa, Ahmed, Yusuf, Omar, Zayn dan Hamza.
Dalam pada itu, menurut BabyCentre, ibu bapa juga cenderung untuk memilih nama klasik bagi bayi perempuan pada tahun ini.

Selain itu, mereka juga gemar menggunakan ejaan yang berbeza atau ejaan yang mirip dengan ejaan asal sesuatu nama.
Walaupun kelihatan remeh, BabyCentre berkata perkara itu sebenarnya menjadi keutamaan kepada ibu bapa ketika menamakan bayi masing-masing.
Oleh itu, BabyCentre membuat ketetapan setiap variasi ejaan untuk nama yang hampir sama kini dianggap sebagai entri berasingan.
Dengan ketetapan itu, nama bayi perempuan paling popular pada tahun lepas, Sophia jatuh ke tangga kelapan pada tahun ini disebabkan variasi ejaannya.
Manakala, nama klasik, Olivia berjaya menjadi nama bayi perempuan paling popular diikuti dengan Amelia, Isla, Lily, Ava, Freya, Ivy, Sophia, Grace dan Willow.
Layla merupakan nama Muslimah paling popular dan menduduki tangga ke-31 dalam senarai itu.
Beberapa nama lain seperti Maryam, Fatima, Nur, Aisha, Zahra and Raya turut tersenarai dalam indeks berkenaan.
Muhammad bukan sahaja popular di UK, nama ini turut menjadi pilihan penduduk dunia
Untuk makluman, Muhammad ialah nama dalam bahasa Arab bermaksud ‘Yang Terpuji’ dalam bahasa Melayu. Pada masa yang sama, nama ini juga merupakan nama rasul terakhir dalam agama Islam.
Nama tersebut turut menjadi antara nama yang paling banyak digunakan oleh rakyat di pebagai negara di seluruh dunia.
Berdasarkan laman Bump, dianggarkan lebih 150 juta lelaki menggunakan nama tersebut sehingga ke hari ini.
BACA: Banyak Ujian, Rupanya Ini Proses Ujian Keselamatan & Prestasi Kereta Ramai Tak Tahu
Sumber: Mirror