Siakap Keli
ujian keselamatan kereta
Kredit: AFP

Banyak Ujian, Rupanya Ini Proses Ujian Keselamatan & Prestasi Kereta Ramai Tak Tahu

Banyak Ujian, Rupanya Ini Proses Ujian Keselamatan & Prestasi Kereta Ramai Tak Tahu

Secara umumnya, ujian kereta merupakan satu proses yang perlu dilalui oleh semua syarikat pembuat kereta.

Pengujian pula akan dijalankan dalam pelbagai landskap seperti di dalam trek ujian ataupun di jalan sebenar meliputi pelbagai bentuk muka bumi.

Sungguhpun begitu, apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh pengujian kereta, khususnya ujian keselamatan dan prestasi kereta (car safety and performance test)?

Keseluruhannya, terdapat pelbagai jenis ujian yang dilakukan oleh syarikat pembuat kenderaan.

Namun kereta terbaik yang dihasilkan pasti melalui senarai ujian-ujian di bawah.

Jom kita telusuri senarai ujian-ujian tersebut bersama-sama.

Ujian pelanggaran

Ujian pelanggaran adalah antara ujian melibatkan keselamatan kenderaan yang diketahui oleh ramai orang awam.

Selalunya, ujian ini melibatkan penggunaan patung yang bertindak sebagai ‘manusia’ yang diletakkan di tempat duduk pemandu dan juga penumpang.

ujian keselamatan kereta
Kredit: AFP

Ujian ini dilakukan supaya pembuat kenderaan dapat menghasilkan kenderaan yang betul-betul selamat untuk dipandu di jalan raya, khususnya dalam situasi yang tidak diingi.

Namun begitu, tahukah anda bahawa ujian ini bukan berkenaan patung yang bertindak sebagai manusia semata-mata.

Biasanya, pembuat kenderaan akan menggantikan bahan api kenderaan dengan sejenis larutan khas.

Manakala, ujian pelanggaran akan dibuat daripada pelbagai arah yang mana akan memberikan kesan kepada rangka kenderaan.

Kemudian, mereka akan melakukan penilaian kesan pelanggaran terhadap patung dan beberapa bahagian yang lain.

Ia dibuat bagi menganalisis keselamatan mata secara menyeluruh.

Sebagai contoh, tumpahan larutan istimewa akan diambil kira dan diukur bagi menguji kebarangkalian kereta tersebut untuk terbakar ketika kemalangan.

Secara amnya, semua kereta perlu menepati piawaian keselamatan yang ditetapkan, tetapi sesetengah kereta direka untuk menjadi lebih selamat berbanding yang lain.

Walaupun gambaran ujian ini agak ngeri, hasil daripada ujian ini memberi kepercayaan kepada pengguna, khususnya pembeli berpotensi.

Hari ini, boleh dikatakan semua kereta moden melalui ujian pelanggaran berdasarkan piawaian yang ditetapkan.

Biasanya, kereta yang melalui ujian ini akan diberikan penarafan bintang dengan bintang yang lebih banyak menunjukkan kereta tersebut lebih selamat.

Ujian brek

Brek adalah salah satu bahagian yang paling penting dalam kereta ketika menyusur di atas jalan raya, khususnya dalam situasi genting.

Disebabkan itu, pembuat kereta melaburkan banyak modal bagi menghasilkan sistem brek yang terbaik dan bertahan lama.

Antara alasan kenapa brek kereta perlu bertahan lama adalah kerana untuk mengekalkan ciri keselamatan serta mengurangkan kos penyelenggaraan.

Bahagian brek akan diuji dengan menggunakan sejenis peralatan istimewa yang dikenali sebagai penguji brek.

Untuk menggunakannya, kereta akan dipandu ke penguji sejajar dengan satu set penggelek.

Penggelek kemudiannya dihidupkan, yang menyebabkan tayar berjalan. Pengendali kenderaan kemudiannya akan menekan brek, yang mana akan menghasilkan daya.

Manakala, daya ini direkod dengan mengukur ketika tayar yang bergerak tadi mengalami proses nyahpecutan.

Selepas mengambil beberapa rekod, para penguji dapat menilai sejauh mana brek dapat berfungsi dengan baik berserta metriknya.

Ujian getaran

Getaran pada kereta untuk jangka masa yang lama boleh menyebabkan kenderaan mengalami kerosakan. Maka, setiap kenderaan perlu diuji bagi melihat kesan getaran terhadap intergriti kereta.

Proses ujian yang dijalankan sangat rumit, yang mana setiap bahagian memerlukan teknik pengujian yang berbeza-beza.

Hari ini, teknik replika bentuk gelombang (waveform replication) paling banyak digunakan dalam ujian getaran.

Teknik ini digunakan pada setiap bahagian kereta untuk menghasilkan getaran, bagi membenarkan data getaran direkodkan.

Ujian getaran dijalankan dalam kelajuan dan tempoh yang berbeza bagi meniru suasana pemanduan sebenar.

Pada masa yang sama, ujian ini mampu membantu penguji untuk membuat kesimpulan sama ada fizikal kereta tersebut dapat bertahan ketika dipandu.

Selain ujian keselamatan, kereta turut perlu menjalani ujian prestasi

Bagi memastikan kereta yang dipasarkan benar-benar berkualiti tinggi, kenderaan juga perlu melalui ujian prestasi.

Ujian prestasi yang dijalankan bertujuan untuk menguji pelbagai perkara termasuklah kuasa kuda dan tahap pencemaran yang dilepaskan.

Kuasa kuda

Semasa kereta diuji, pembuat kereta berusaha untuk memastikan kuasa kuda yang ada pada kenderaan tersebut adalah tepat untuk menentukan prestasi kereta tersebut.

Kuasa kuda adalah satu unit yang digunakan untuk mengukur kuasa ouput enjin, yang biasanya diuji melalui ujian dyno (dynomometer).

Selain kuasa kuda, ujian dyno juga digunakan untuk mengukur beberapa aspek seperti daya enjin dan torque. 

Mengukur pencemaran

Selain itu, kenderaan perlu diuji bagi memastikan sisa pencemaran yang dilepaskan mamatuhi standard kualiti udara.

Sejak 2017, prosedur Worldwide Light Diesel Test (WLDT) telah dilancarkan bagi memastikan asap yang dikeluarkan kenderaan tidak memberi kesan terhadap alam sekitar.

Sepanjang ujian ini, kereta akan dipandu dalam laluan yang ditetapkan, termasuklah laluan yang berada pada altitud berbeza-beza.

Selain itu, kereta tersebut akan melalui pelbagai kawasan yang memiliki suhu persekitaran yang berbeza bagi memastikan enjin berada dalam pelbagai situasi pemanduan.

Sebelum ujian, peranti sistem pengukuran pelepasan mudah alih (PEMS) telah diletakkan pada eksos.

Sisa pencemaran yang keluar daripada kereta akan diukur sewaktu kereta tersebut dalam pemanduan.

ujian keselamatan kereta
Kredit: AFP

BACA: Ramai Tak Tahu Russell Taylors Rupanya Jenama Malaysia

Sumber: findandfundmycar

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma