Siakap Keli
russell taylors jenama malaysia
Kredit: Russell Taylors

Ramai Tak Tahu Russell Taylors Rupanya Jenama Malaysia

Ingat Asal Dari Negara Barat, Ramai Tak Tahu Russell Taylors Sebenarnya Jenama Malaysia

Russell Taylors adalah jenama peralatan elektrik yang tidak asing lagi dengan pengguna di Malaysia. Malah, tidak salah mengatakan ia antara jenama pilihan banyak isi rumah di negara ini.

Antara peralatan elektrik daripada jenama ini adalah seperti airfryer, pembersih vakum, periuk nasi dan sebagainya.

Dari segi kualiti pula, rata-rata pengguna menzahirkan rasa berpuas hati selepas menggunakan produk-produk di bawah jenama tersebut.

Berdasarkan komen-komen pengguna di Malaysia, kebanyakan produk Russell Taylors dikatakan dijual pada harga yang berpatutan dan tahan lama.

Sekali imbas, kita mungkin menyangka bahawa jenama peralatan elektrik ini berasal dari luar negara.

Jika dilihat pada nama jenama tersebut, ia lebih sinonim dengan nama-nama masyarakat yang menetap di negara-negara Barat.

Akan tetapi, jangkaan anda meleset sama sekali kerana jenama Russell Taylors ini sebenarnya merupakan salah satu jenama tempatan.

Untuk makluman, jenama  Russell Taylors telah diasaskan oleh anak Malaysia, Satish Kumar Raguchandran pada 2016.

Beliau telah mengasaskan jenama tersebut untuk mencipta revolusi dan menawarkan beberapa penyelesaian dalam pasaran barangan elektrik secara atas talian.

russell taylors jenama malaysia
Kredit: EY

Sungguhpun begitu, perjalanan Satish diperingkat awal ketika mula menceburi industri tersebut tidaklah mudah seperti dijangka.

Apatah lagi, Satish terpaksa menguruskan banyak perkara sendirian ketika itu.

Beliau melakukan segala-galanya bermula daripada rekaan produk sehingga pembungkusan.

Hal ini termasuklah memunggah bekas-bekas yang berukuran kira-kira 40 kaki (12 meter).

Satish sangat mengutamakan kualiti produknya

Selain itu, beliau gemar untuk melawat pembekal dan kilang-kilang untuk membuat pemeriksaan produk-produk yang dihasilkan dengan mata sendiri.

Satish berbuat demikian bagi memastikan setiap barangan di bawah jenama Russell Taylor mempunyai kualiti yang baik sebelum diedarkan.

Russell Taylors turut memastikan semua pembekal menjalani amfori Business Social Compliance Initiative (BSCI), bagi menilai standard tempat kerja mereka, dan mengutamakan diversiti dalam tenaga kerja.

Ia selari dengan aspirasi Satish untuk menjadikan Russell Taylors sebagai satu jenama global menerusi kualiti produk, perkhidmatan pelanggan yang efisien serta memiliki kepelbagaian diversiti dan inovasi produk.

Pada hari ini, jenama Russell Taylors telah berkembang dan menjadi salah satu jenama peralatan rumah atas talian yang dipercayai pengguna tempatan.

Pada masa yang sama, syarikat berkenaan turut memberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaannya ke luar negara.

Kini, Russell Taylors sedang memberi fokus untuk menembusi pasaran Singapura dan Thailand.

Selain itu, syarikat berkenaan juga bakal melebarkan sayapnya ke beberapa negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam.

BACA: Kenali Daisugi, Kaedah Perhutanan Yang Mapan Di Jepun

Sumber: EY

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma