Siakap Keli
kereta elektrik pertama xiaomi
Kredit: X

Xiaomi Bakal Dedah Jentera EV Pertama, SU7 Pada 28 Disember

Xiaomi Bakal Dedah Jentera EV Pertama, SU7 Pada 28 Disember

Syarikat teknologi terkemuka global, Xiaomi dijangka bakal mendedahkan kereta elektrik (EV) pertama keluarannya, SU7 pada 28 Disember 2023.

Acara berkenaan dijangka bermula pada pukul 2 petang (waktu tempatan) dan berlangsung selama tiga jam.

Berita tersebut telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Xiaomi sendiri, Lei Jun.

Beliau membuat pengumuman berkenaan menerusi akaun laman X milik beliau, (@leijun).

Menurut Lei Jun, pihaknya telah meraih pelbagai soalan berhubung pelancaran produk automobil sulungnya.

Justeru, menerusi hantaran berbeza, Lei Jun kemudian menjawab beberapa soalan yang pernah diajukan kepadanya sebelum ini.

Menurutnya, acara yang berlangsung pada esok itu akan menumpukan kepada perkembangan teknologi Xiaomi dan tiada sebarang pelancaran produk akan dibuat.

Beliau turut menegaskan acara itu akan memberikan fokus kepada kereta elektrik pertama Xiaomi, SU7 sendiri.

“EV pintar yang menggabungkan teknologi automotif dengan elektronik pengguna. Pengalaman luas yang kami kumpul dalam bidang elektronik selama ini banyak membantu Xiaomi menghasilkan EV ini,” katanya.

Bagaimanapun Lei Jun berkata, gambaran penuh EV berkenaan akan diperincikan oleh beliau dalam acara yang diadakan pada esok hari.

Menyentuh berkenaan nama SU7, Lei Jun berkata frasa berkenaan mempunyai maksud yang tersendiri kepada Xiaomi.

“Abjad SU mewakili frasa Speed Ultra. SU7 bakal menjadi ‘raksasa’ yang berpretasi tinggi. Jadi, nantikan (esok hari),” kata beliau lagi.

Selain itu, Lei Jun turut berkongsi bahawa SU7 merupakan sebuah kereta sedan yang dipasang dengan pelbagai ekosistem dan teknologi moden. Malah, ia juga dapat dihubungkan dengan telefon pintar keluaran Xiaomi sendiri.

“Alasan mengapa kami memilih rekaan kereta sedan pula akan saya jelaskan pada 28 Disember nanti,” kata Lei Jun.

Dalam pada itu, Xiaomi SU7 dilaporkan tidak dibina bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana pesaing automobil secara spesifik.

“Kami telah mereka SU7 untuk menawarkan tahap prestasi pemanduan yang setanding dengan kereta-kereta yang terbaik dalam kelasnya, termasuk Porsche Taycan Turbo.

“Kami mengutamakan teknologi kepintaran buatan, dan mengambil inspirasi dari sistem terkemuka dalam kereta seperti Tesla Model S.

“Xiaomi SU7 akan menawarkan teknologi yang mantap dan ekosistem sokongan untuk meningkatkan pengalaman pemanduan anda,” ujarnya lagi.

Setakat ini, kereta berkenaan masih lagi dalam fasa ujian. Justeru, bila kereta tersebut bakal menemui pengguna secara rasmi dan tanda harganya masih menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, Xiaomi berjanji bahawa jentera yang dihasilkan akan melebihi jangkaan semua pihak.

BACA: Banyak Ujian, Rupanya Ini Proses Ujian Keselamatan & Prestasi Kereta Ramai Tak Tahu

Sumber: @leijun via X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma