Siakap Keli
lelaki terkena bunga api
Gambar: Bernama

Lelaki Maut, Seorang Lagi Cedera Terkena Serpihan Bunga Api Di Port Dickson

SEREMBAN, 1 Jan (Bernama) — Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan sebuah hotel di Port Dickson dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa, 40, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka manakala rakannya, 39, dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.

“Kedua-dua mangsa merupakan pekerja syarikat pemasangan bunga api yang ditugaskan memasang bunga api untuk pertunjukan sempena malam Ambang Tahun Baru 2024 di hotel berkenaan.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kejadian dan kes diklasifikasikan sebagal mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Aidi Sham menyeru orang awam supaya tidak menularkan isu berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, tular di laman X sejak pagi tadi sebuah rakaman video berdurasi 1.04 minit dan gambar memaparkan kejadian letupan beberapa das bunga api di hotel berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story