Siakap Keli
rooney dipecat
Gambar via BBC Sport

Legenda United, Wayne Rooney Dipecat

Legenda United, Wayne Rooney Dipecat

Penyerang legenda Manchester United, Wayne Rooney akhirnya dipecat sebagai pengurus Birmingham City selepas kelab itu mencatatkan reputasi teruk dengan tewas buat kali kesembilan dalam 15 perlawanan terakhir.

Rooney, 38, menerima ‘hukuman’ itu hanya baru 83 hari mengendalikan kelab Liga Kejuaraan (EFL) berkenaan selepas menggantikan pengurus terdahulu, John Eustace pada 11 Oktober lepas.

“Saya ingin mengucap terima kasih kepada Tom Wagner, Tom Brady dan Garry Cook atas peluang untuk menguruskan Birmingham City FC dan sokongan yang mereka berikan kepada saya sepanjang tempoh singkat saya bersama kelab.

“Bola sepak adalah ‘perniagaan yang membuahkan hasil’ dan saya sedar mereka tidak berada seperti mana tahap yang saya mahukan.

“Bagaimanapun, masa adalah komoditi paling berharga yang diperlukan oleh pengurus dan saya tidak percaya 13 minggu cukup untuk mengawasi perubahan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, bekas penyerang sensasi Red Devils berkenaan turut optimis untuk berdepan tindakan sedemikian ekoran sudah berkecimpung dalam dunia bola sepak sejak belasan tahun.

“Secara peribadi, saya akan mengambil sedikit masa untuk mengatasi halangan ini. Saya telah terlibat dalam bola sepak profesional, sama ada sebagai pemain atau pengurus sejak berumur 16 tahun.

“Kini, saya bercadang untuk meluangkan sedikit masa bersama keluarga ketika saya bersedia untuk peluang seterusnya dalam perjalanan saya sebagai pengurus.

“Akhir sekali, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Birmingham City FC dan pemiliknya dalam mengejar cita-cita mereka,” katanya lagi.

Terbaharu, Birmingham City tewas sekali lagi 3-0 dengan Leeds United dalam perlawanan EFL pada Isnin, sekali gus membuatkan kelab itu berada hampir zon penyingkiran.

Untuk rekod, Birmingham kini menduduki tangga ke-20 liga dengan keputusan tujuh (7) kemenangan, tujuh (7) seri dan 12 kekalahan selepas 26 perlawanan.

Sumber: BBC Sport / Wayne Rooney

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'